Thursday, December 30, 2010

DPPNS = Dewan Pemudi PAS Negeri Sembilan

DPPNS bagi saya singkatan kepada Dewan Pemudi PAS Negeri Sembilan kerana majoritinya pemalu dan penakut macam perempuan atas pelbagai sebab dan alasan yang tidak patut ada pada diri seorang lelaki bergelar pejuang Islam. Antara contohnya:

1) Ramai yang handal bercakap tapi setakat berani dalam mesyuarat dan paling tinggi dalam surau. Pentas ceramah politik hanya untuk orang lain!.
2) Ramai yang tak mahu zahirkan dirinya sebagai AJK DPPNS takut terlucut jawatan dan takut perniagaan gulung tikar. Ironisnya, ada yang menyorok-nyorok ketika mengedar risalah PAS!
3) Takut nak keluarkan kenyataan akhbar nanti terjejas dan ter"kubur" PAS satu Malaya.
4) Sedih tengok demontrasi yang PAS buat terutamanya di Negeri Sembilan ni. AJK DPPNS ini ramai tapi tak nampak wajah. Hanya seorang atau dua yang ada hidung. Mungkin yang lain berada di barisan belakang bersama-sama muslimat sedang memakai purdah!.
5) Mengharapkan pemuda berdepan dengan samseng UMNO dan melindungi ahli-ahli PAS terutamanya muslimat tetapi pemuda sembunyi diri dalam markas bila diserang oleh samseng UMNO dan tak mampu berdepan dengan mereka. Mana perginya jihad ulama-ulama muda yang ada ijazah tasawur Islam. Alahai....

AJK Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan  WAJIB ke depan, membarisi benteng paling awal dalam semua situasi terutamanya yang kritikal sambil "Memukul gendang" dan bersedia dengan segala kepakaran dan bunga persilatan dengan gaya yang nampak gagah serta berani, barulah ahli-ahli PAS yang lain turut sama bersemangat untuk berjuang.

Alasan muak yang serik terdengar "Kita kena faham dan jaga kepentingan sahabat sheikh". Kalau begitu siapa pula nak jaga kepentingan Islam dan Parti. AJK DPPNS kebanyakkannya bergelar ulama muda dan sepatut sudah ditarbiyah dengan pengorbanan dan jihad tapi kebanyakkan masih lagi berstatus "pemudi".

DPPNS perlu berubah atau singkatannya Dewan Pemudi PAS Negeri Sembilan akan kekal selamanya...

Sunday, December 26, 2010

PAS Rembau punyai ramai tokoh berwibawa.

Salam,

PAS Kawasan Rembau mempunyai ramai tokoh yang boleh diketengahkan terutamanya sebagai calon PRU13 untuk berkhidmat kepada masyarakat Rembau.

Saya senaraikan bebarapa tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia politik dan korporat iaitu:


Di samping itu PAS Kawasan Rembau juga mempunyai tokoh-tokoh baru dan muda yang mampu membawa masyarakat Rembau ke arah yang lebih progresif iaitu:


Ini bukan kesemuanya tokoh-tokoh PAS Kawasan Rembau yang mempunyai potensi untuk PRU13 tetapi masih ada tokoh-tokoh yang tidak mahu dan tidak boleh ditonjolkan ketika ini disebabkan pelbagai faktor.

Saya selaku Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Rembau bagi pihak semua AJK Pemuda PAS Kawasan Rembau mengumumkan bahawa kami telah bersedia untuk menghadapi PRU13 di semua DUN-DUN Kawasan Rembau dan Parlimen Rembau. Semoga persediaan awal ini, dianugerahkan oleh Allah swt dengan kemenangan cemerlang di semua DUN dan Parlimen Rembau. Seterusnya PR berjaya menawan Negeri Sembilan. Insya Allah.

Saturday, December 25, 2010

Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan perlu berubah.

Salam,

Alhamdulillah.... Seremban dah berubah dan pulih. Dewan Pemuda Negeri Sembilan pula perlu berubah dan perlu SEGERA menampakkan perubahan tersebut untuk menjana kejayaan PRU13. Insya Allah.

DPPNS punyai ramai AJK-AJK yang terpelajar. Yang saya tahu hanya seorang sahaja yang tidak menjejaki kaki ke universiti. Intelek ada & jurutera pun ada, pensyarah universiti ada dan cikgu @ ustaz sekolah pun ada juga, pengurus ada, usahawan berjaya pun ada juga, imam surau ada, dan bekas imam masjid pun ada juga bekas SU Kerja Dewan Ulama' Pusat ada, dan pakar dan bekas penterjemah Bahasa Arab Astro pun ada juga. Pendek kata semua golongan elit ada dalam AJK DPP PAS Negeri Sembilan. Masalahnya kenapa DPP Pas Negeri Sembilan ini seolah-olah tidak wujud sama sekali terutamanya di mata rakyat merata?.

Tunggu artikel seterusnya... Insya Allah.

Friday, December 24, 2010

PAS Seremban pulih - Tawan Negeri Sembilan.

Anwar Ibrahim ketika berceramah di Negeri Sembilan pada 20hb Dis baru-baru ini meminta PR menawan Negeri Sembilan yang cuma perlu memenangi hanya 4 kerusi sahaja lagi untuk mengambil alih pemerintahan Negeri Sembilan.

Kita telah membincangkan perkara ini semenjak berakhirnya PRU 12 lagi dan ianya adalah sangat praktikal dan sangat tidak mustahil tetapi PR terutamanya PAS mesti mengambil langkah wajar dan menyusun strategi ke arah itu.

Alhamdulillah...kita bersyukur ke hadrat Allah swt kerana PAS Negeri Sembilan terutamanya PAS Seremban telah dipulihkan kembali. Ini satu langkah yang wajib untuk menyusun langkah yang jitu untuk menawan Negeri Sembilan dalam PRU13 tidak berapa lama lagi. Walaupun masih terdengar beberapa konflik dan perselisihan masih berlaku, namun dalam beberapa majlis, saya sendiri melihat Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Tuan Zulkefly Hj Omar dan YDP Seremban Tuan MK Ibrahim telah boleh duduk sebaris dan seiring. Tahniah buat kedua-duanya.

Sejarah akan melakarkan kejayaan PR menawan Negeri Sembilan kelak dan salah satu sebab kejayaan itu adalah kerana PAS Negeri Sembilan dan PAS Seremban BERJAYA menggerakkan jentera sepenuhnya. Kejayaan ini juga akan dilukis orang dalam lipatan sejarah disebabkan oleh dua orang tokoh pemimpin Negeri Sembilan dan Seremban ini iaitu Tuan Zulkefly Hj Omar dan Tuan MK Ibrahim yang berusaha dan terus berusaha bersungguh-sungguh dengan mengenepikan kepentingan peribadi dan kumpulan demi untuk kesepakatan dalam berjemaah dan berparti.

Begitu juga sebaliknya. Jika kekalahan terus melanda PR dan PAS Negeri Sembilan dalam PRU13 kelak, MUNGKIN salah satu faktornya adalah  kedua-dua tokoh pemimpin di atas atau salah seorang dari mereka masih punyai ego yang tinggi dan masih tidak mahu bermunafakat.

Marilah sama-samalah kita berdoa dan berusaha untuk meningkatkan ukhwah dan munafakat, seterusnya menawan Negeri Sembilan. Insya Allah.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (al-Hujurat:10).


"Muafakat membawa berkat"

Tuesday, November 30, 2010

Kita sebenarnya perosak Bahasa Melayu.

Ketika Mantan Perdana Menteri memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), maka kecohlah seluruh negara dengan bantahan, demo sebagainya kerana tidak setuju dengan dasar yang meminggirkan Bahasa Melayu itu.

Sehinggakan Ketua Pemuda Pas Pusat ketika itu, saudara Sallahuddin Ayub mengerahkan dan mewajibkan seluruh ahli Pemuda PAS seluruh negara untuk berkumpul membantah PPSMI ini.

"Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mengarahkan pemuda-pemuda seluruh negara untuk sama-sama menyertai perhimpunan aman membantah PPSMI pada 7 Mac, Sabtu nanti.

Katanya, ahli yang mengaku mereka adalah pemuda PAS haruslah memastikan kehadiran mereka sebagai komitmen terhadap perjuangan mengembalikan serta memartabatkan Bahasa Melayu yang semakin terpinggir akibat dasar PPSMI". - petikan Detikdaily.

Sebenarnya kita sendiri dengan disedari atau tidak, merupakan perosak dan kitalah yang meminggirkan Bahasa Melayu itu sendiri. Sila lihat iklan ini:


Saya bukannya pakar bahasa, namun jelas "bahasa rojak" pelbagai bahasa di dalam iklan ini "menjolok mata" menyebabkan orang yang menghargai bahasa "berbulu mata" bila memandangnya.

Semoga kita lebih prihatin untuk terus memertabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara bertuah ini.

Wallahu'alam.

Monday, November 29, 2010

KETUANAN MELAYU.

Pagi ini kecoh lagi tentang ucapan Presiden PKR mengenai PKR ingin membakul-sampahkan KETUANAN MELAYU. Ada pula seorang Sultan yang berdukacita ...

Saya juga membaca komen Ketua Pemuda PAS Pusat dalam Kosmo hari ini tentang beliau tidak bersetuju sekiranya pemerintahan UMNO dan BN yang ternyata zalim dijatuhkan dan diserahkan pula teraju negara ini kepada orang bukan Islam walau pun beliau kelihatan adil.

Saya cuba analisa kedua-duanya. Teks Ucapan Dasar Presiden PKR saya teliti dan komen saya:

1) Teks ucapan ini tidak bermaksud untuk menghapuskan "Ketuanan Melayu" secara total.
2) "Ketuanan Melayu" yang hendak dihapuskan ialah "Ketuanan Melayu" yang disalahgunakan oleh UMNO.
3) Ternyata bahawa media massa telah memesongkan maksud sebenar ucapan ini.
4) Perlembagaan Persekutuan akan dipertahankan. Ini bermakna tidak akan terusik Institusi Melayu seperti Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan sebagainya. Kenapa Sultan perlu berdukacita pula?.
4) Kurang bijaksana Presiden PKR mengutarakan topik ini ketika ini yang pastinya akan dimanupulasikan oleh musuh untuk memudaratkan PKR yang kini telah terjerumus dalam pelbagai masalah dalaman.

Komen saya tentang kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat:
Sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat, sudah semestinya beliau tidak akan bersetuju untuk menjatuhkan UMNO dan BN yang ternyata zalim dan diserahkan pula kepada orang bukan Islam untuk meneraju negara ini.

Perjuangan kita adalah untuk menegakkan Negara Islam yang merupakan perintah Allah swt dan Rasulnya. Ternyata dalam sejarah, Negara Islam di seluruh dunia yang diterajui oleh orang Islam dari pelbagai bangsa seperti Arab, Moghul, Melayu, Cina, India dan sebagainya tidak menzalimi penganut agama lain dan bangsa lain.

Negara Islam wajib diterajui oleh orang Islam sendiri. Ini adalah prinsip perjuangan yang mesti dipertahankan oleh setiap ahli PAS selari dengan perjuangan PAS untuk menegakkan Negara Islam. Sekiranya ada ahli yang tidak bersetuju, maka wajarlah dia meninggalkan parti PAS ini. Seandainya majoriti ahli tidak bersetuju, eloklah kita lupakan perjuangan ini dan bubarkan saja Parti Islam SeMalaysia ini.

"Tegakkan ketuanan Islam. Keadilan untuk semua"

Walalhu'alam. Sekian.

Monday, November 1, 2010

Kritik dan tegurlah....

Salam ukhwah kepada semua pejuang PAS dan Pakatan Rakyat terutamanya dari negeri Sembilan yang ikhlas dan tulus dalam perjuangan menegakkan Islam dan keadilan di Malaysia.

Sudah berbulan rupanya saya tidak menulis sesuatu dalam blog ini. Kesibukan seharian untuk mencari penghidupan terutama peniaga kecil-kecilan seperti saya ini menyebabkan saya tidak sempat untuk menulis dalam blog ini dan kebanyakan blog saya yang lain.

Semalam berjumpa dengan sahabat lama, jenuh saya nak menjawab kritikan beliau tentang saya terutamanya hasrat kami untuk membetulkan PAS dan pakatan Rakyat terutamanya Negeri Sembilan melalui blog ini terbantut begitu lama. Saya akui bahawa saya banyak kelemahan dan dengan rendah hati saya mohon maaf.

Kita dalam berparti dan berjemaah, kita sangat memerlukan sahabat-sahabat yang telus dan jujur mengkritik dan menegur kelemahan dan kesalahan kita. Sahabat-sahabat kita juga mesti telus dan jujur serta berbesar hati untuk menerima teguran dan kritikan membina dari kita. Ini adalah hubungan dua hala yang sangat perlu untuk membaiki diri sendiri dan sahabat-sahabat. Seterusnya parti dan jemaah boleh diperteguhkan. Insya Allah.

Jika kritikan dan teguran sahabat tersebut pada pandangan kita tidak benar, maka berhujahlah dengan baik dengan nas yang sohih atau mantik yang logik tanpa melibatkan sentimen dan emosi atau kita maafkanlah sahabat itu atas kekhilafan tersebut asalkan beliau telus dan jujur dalam menegur dan mengkritik. Seterusnya kita teruskan usaha kita yang pada pandangan kita adalah yang terbaik untuk kita dan jemaah kita.

Ahli parti dan jemaah yang TIDAK menegur ahli lain yang melakukan kepincangan di hadapan mata adalah SETAN BISU. Ahli parti dan jemaah yang TIDAK dapat menerima teguran yang tulus dan jujur dari ahli dan sahabat separti dan sejemaah mempunyai keegoaan dan keangkuhan IBLIS. Apa gelaran yang layak untuk PEMIMPIM parti dan jemaah dalam kedua-dua keadaan yang sama.
Wallahu'alam...

Friday, July 23, 2010

Hutang...

Salam...

Ramai yang berhutang dalam kehidupan serba maju dewasa ini..... termasuk diri saya sendiri. Jika berhutang dengan bank atau institusi kewangan, selalunya kita berhati-hati. Namun begitu ia menjadi beban yang sangat berat terutamanya ketika bayaran ansuran tertunggak berbulan-bulan. Ada yang menyorokkan kereta kerana takut bank menarik kereta tersebut dan malahan ada yang diistiharkan muflis angkara hutang seperti hutang kad kredit.

Yang paling mengecewakan adalah apabila kita berhutang dengan saudara-mara dan sahabat-sahabat. Ada di antara kita tidak bersikap seperti kita meminjam dari institusi kewangan. Malahan ada yang lebih lembut gusi dari lidah apabila hendak meminjam tetapi memberi jutaan dalih atau menghilangkan diri ketika pemiutang yang terdiri dari saudara atau sahabat-sahabatnya sendiri ketika mereka ingin meminta hutangnya.

Seorang saudara saya di Perak pernah berkata bahawa beliau tidak akan memberi hutang kepada saudara-mara atau kawan-kawan sekiranya beliau merasa terbeban dengannya. Beliau lebih suka memberi sedekah atau menderma dengan jumlah yang tidak merisaukannya. Ini adalah kerana takut hutang tak berbayar dan beliau akan keresahan serta bermusuhan pula dengan saudara dan rakan-rakannya. Beliau kini merupakan usahawan yang berjaya.Adakah prinsip dan pegangan sebegini boleh dipegang untuk masalah hutang ini?.

Seorang kenalan saya dari Kelantan pula berbeza..... beliau akan memberikan hutang kepada saudara-mara dan rakan-rakan dengan segala kemampuannya. Kekadang beliau terkenangkan juga hutang-hutang yang beliau berikan tetapi selalunya beliau  tidak menghiraukannya langsung. Sehingga ada yang simpati kepada beliau kerana atas kepemurahan hatinya, ada yang seperti mengambil kesempatan dengan berkali-kali berhutang dengan segala kepakaran meraih simpati, namun tidak pernah menjelaskan hutang walau pun sekali. Walaupun demikian beliau juga merupakan usahawan yang berjaya juga. Adakah prinsip dan pegangan sebegini boleh dipegang?.


Rasulullah s.a.w ada menjelaskan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksudnya :  

“Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambil dengan niat akan membinasakannya dengan tidak membayarnya maka Allah akan membinasakan dia”.

Nabi tercinta Muhammad saw sangat takut berhutang dan terperangkap dengan hutang. Baginda sering berdoa yang maksudnya:

"Ya Tuhanku, aku berlindung diri kepadamu dari bebanan hutang dan dari dikuasai orang lain”.

Marilah fikir-fikirkan. Hutang kita tetap wajib dibayar kerana Nabi teragung Muhammad saw bersabda bermaksud:

"Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.

(Riwayat Imam At-Tarmizi, Ahmad & Ibni Hibban)

Untuk maklumat lanjut, sila baca sini.

Sekian. Semoga kita dibebaskan dari berhutang dan redha sekiranya orang lain tidak membayar hutangnya kepada kita. Wallahu'alam.

Wednesday, May 26, 2010

Susahnya nak ikhlaskan diri selepas kecewa.

Salam.

Dalam organisasi tempat bekerja, jawatan tinggi menjadi suatu idaman. Pekerja mengidam nak jadi Penyelia, Penyelia nak pula jadi Pengurus, Pengurus pula mimpikan jawatan Pengurus Kanan dan ianya berterusan sehingga ke jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ada yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan jawatan yang diidamkan seperti melobi, mengampu, menindas orang bawahan dan mencantas pesaing.

Ada pekerja yang bagus tetapi sering tidak mendapat jawatan yang diingini walaupun kelayakan dan pretasi kerjanya sangat baik dan sepantasnya ianya mendapat jawatan tersebut. Mungkin tiada kekosongan jawatan atau selalunya ianya dicantas oleh pesaingnya. Sangat pedih dan sedih pekerja yang mengalami keadaan seperti ini. Aku mengerti sebab aku juga pernah mengalaminya. Selalunya, pekerja berdedikasi begini pasti akan kecewa dan lambat laun akan meninggalkan syarikat tersebut atau kekal di dalam syarikat tetapi bertukar menjadi dedalu yang merosakkan syarikat atau sekadar "melukut di tepi gantang".

Aku kagum dengan beberapa pekerja yang aku kenali yang sangat berdedikasi dan terus mengekalkan prestasi kerja walau pun berpuluh tahun bekerja dengan syarikat yang sama dan tiada kenaikan pangkat yang ketara untuknya. Jelas dia bekerja dengan penuh keikhlasan kerana Allah swt.

Dalam organisasi sukarela dan politik pembangkang, jarang jawatan menjadi rebutan. Ini adalah kerana jawatan merupakan bebanan tanpa imbuhan keduniaan yang nyata. Namun begitu, masih ada yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan jawatan termasuk mengambil risiko menyebabkan organisasi terjejas, malahan digantung.

Adakalanya kita teringin sangat kepada sesuatu jawatan dalam syarikat atau dalam organisasi yang kita terlibat di dalamnya. Kita merasakan kitalah yang paling layak dan berkaliber, namun pemilihan dan nasib tidak berpihak kepada kita. Kita akan merasa kecewa. Selepas itu, kekecewaan itu akan memusnahkan perasaan dan prestasi kita. Sukar untuk mengikhlaskan diri dan kembali ke keadaan asal. Ia memakan masa dan pasti banyak yang terkorban.

Hanya Allah swt, tempat kita mengadu dan dengan keizin dan rahmatNya sahaja, kita mampu kembali ikhlas berkerja dengan kekecewaan dan kerosakkan yang minima.

Jika kita tidak pernah atau tidak akan kecewa terhadap sesuatu keinginan yang tidak kesampaian, pasti kita adalah wali Allah swt atau setaraf dengannya.

والله علم

Sunday, May 9, 2010

Kekayaan dan kekuasaan.


Salam,

Pagi kelmarin aku bersarapan di kedai biasa hampir setiap hari dengan seorang pemandu bas sekolah yang aku panggil Pak Wan. Orangnya kecil, agak pendiam dan biasa saja.

Aku teringin nak jumpa beliau sebab nak menganjurkan siri lawatan ke Perak untuk melawat Kilang Hovic Bhd. dan aku teringin nak mengetahui berapa sewa bas sekolah beliau untuk ke destinasi tersebut. Aku terkejut sebab jawapannya "Pak Wan tak nak sewakan bas ke mana-mana. Bas tu untuk bawa budak-budak sekolah. Kalau tidak, biarlah bas itu berehat".

Aku bertambah terkejut kerana Pak Wan tidak menerima bayaran upah mencuci bas dari rakan kami kerana anaknya tercirit di dalam bas.

Inilah sebenarnya orang yang kaya kerana merasa cukup dengan apa yang ada dan tak teringin untuk memboloti kekayaan dunia ini lagi. Sedangkan kita yang nampak mewah, sebenarnya masih lagi miskin kerana masih lagi terus memburu kekayaan dunia ini semahunya.

Analogi....

Dalam jemaah Islam bernama Parti Islam SeMalaysia (PAS) ini, ramai yang tidak inginkan jawatan suatu ketika dulu dan cuba mengelak sedaya upaya. Ini adalah kerana jawatan dipandang sebagai amanah yang sangat berat untuk dipikul. Persis seperti Pak Wan pemandu bas sekolah yang kaya seperti di atas.

Malang....

Ketika ini, jawatan dalam parti telah menjadi rebutan walau pun PR atau PAS belum lagi memerintah negara. AWAS, jawatan akan menjadi rebutan sengit di semua peringkat apabila PR atau PAS berjaya memerintah kelak.

Ini adalah kerana dulunya pejuang-pejuang Islam hanya memikir untuk mendaulatkan Islam. Kini sudah ada yang memikirkan bahawa jawatan adalah kekuasaan dan kekayaan.  Ceh.......AWAS, bedebah sebegini akan bertambah dalam parti apabila PR telah memerintah kelak!

Ya Allah! Lindungi kami dan lindungi jemaah kami...

Tuesday, May 4, 2010

Usul DPP Selangor - PJ dilantik dalam Muktamar Negeri.

Salam,

Aku teringat satu usul telah dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Selangor di Muktamar DPPP tahun lepas (2009). Usul tersebut berbunyi lebih kurang seperti berikut :

"DPP Selangor mengusulkan supaya Fasal 40 Perlembagaan Parti dikaji semula dengan menyerahkan perlantikan Pesuruhjaya negeri (serta Jawatankuasa Pas Negeri) dijalankan disuatu muktamar peringkat negeri yang diwakili oleh perwakilan setiap kawasan negeri tersebut". 

Antara hujah yang diberikan ialah:
1) Sudah pasti hanya anak negeri yang mengetahui siapakah PJ yang paling layak.
2) PJ yang dilantik oleh perwakilan kawasan mesti menjalankan tugas dan khidmatnya kepada kawasan-kawasan yang melantik beliau. Jika gagal, perwakilan yang sama boleh menurunkan mereka pada muktamar berikutnya.
3) Presiden mungkin khilaf dalam melantik PJ negeri lantaran kerana tokoh tersebut rapat dengan pemimpin-pemimpin peringkat pusat sehingga ke Timbalan Presiden tetapi sangat lemah hubungannya dengan kawasan, cawangan dan akar umbi parti.
4) Proses untuk melobi presiden untuk jawatan PJ sangat mudah berbanding terpaksa bekerja keras untuk mengambil hati akar umbi parti.
5) Proses menjatuhkan PJ juga sangat mudah seperti menggantung banner yang berbunyi "Negeri Sembilan mahu Pesuruhjaya ditukar" di Muktamar Pusat. Peristiwa ini berlaku suatu ketika dahulu.
(Maaf, sebahagiannya hujah aku sendiri)

Lalu keluarlah Ketua Pemuda Melaka dan perwakilan Sarawak (Tidak salah aku), menolak usul ini dengan hujah bahawa kita mesti memberikan thikah dan wala' kepada Presiden dalam melantik Pesuruhjaya Negeri.

Tidak semena-mena keluar pula perwakilan Negeri Sembilan menyokong usul ini dengan bersahaja meminta supaya semua jawatan Ketua Pemuda Negeri termasuk Jawatan Ketua Pemuda Melaka supaya diserahkan perlantikannya kepada Ketua Pemuda Pusat sebagai menunjukkan thikah dan wala' kepada Ketua Pemuda Pusat. Bidasan ini agak selamba tetapi rasanya cukup bermakna.

Pesoalannya, kenapa semua jawatan dipertandingkan dari cawangan, kawasan, dewan-dewan sehingga ke AJK Pusat tetapi jawatan PJ tidak pula dipertandingkan?.

Usul ini diterima di dalam Muktamar Dewan Pemuda ketika itu dengan undian tetapi malangnya usul ini tidak pula dipanjangkan ke Muktamar Agung. Kenapa?

والله علم

Thursday, April 15, 2010

Pernikahan Tan Sri Isa Samad dengan Bibi Sharliza - Ancaman kepada PR NS.


Salam,

Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Isa Samad dengan Bibi Sharliza Mohd Khalid semalam. Tidak baik hidup membujang, dengan berkahwin terselamat sebahagian iman, itupun jika benar-benar beriman. Boleh ikuti kisah mereka di sini.

Namun begitu, saya melihat ini merupakan satu ancaman kepada Pakatan Rakyat Negeri Sembilan terutama kepada PAS. Ini adalah kerana pernikahan ini merupakan satu gabungan yang boleh mengancam iaitu gabungan antara bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang mungkin membuat "comeback" dengan Ketua Penerangan Puteri Umno Malaysia, gabungan antara orang kaya dengan jentera puteri, gabungan antara orang pengalaman (Baca tua) dengan muda dan gabungan antara pakar politik wang (Baca perasuah) dengan keayunan isteri yang boleh meraih simpati.

Pasangan suami isteri UMNO ini telah berhasrat bergabung tenaga untuk berkempen (Baca berbulan madu) di Hulu Selangor dan gabungan ini juga pastinya akan menggunakan segala kelebihan yang ada untuk memenangkan UMNO dan BN di Negeri Sembilan dalam PRU ke 13 nanti.

PAS mesti menguatkan jentera di semua peringkat dengan sesegera mungkin. Seremban mesti dipulihkan segera, walau dengan apa sekali kaedah yang terbaik. Kekuatan jentera PAS mesti digemblingkan sebaik mungkin. Eratkan ukhwah dan persefahaman antara Badan Perhubungan dengan Dewan Ulama' dan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan. Sebarang perselisihan hendaklah diketepikan demi untuk mendapatkan kekuatan kerja secara berjemaah.

Adakah ini suatu mimpi atau mungkin akan menjadi realiti?. Semuanya bergantung kepada Rahmat Ilahi dan pemimpin-pemimpin yang merendah diri dan bertoleransi. Jika ini tidak dapat diusahakan lagi, maka pemimpin yang berkepentingan peribadi mesti disingkiri atau bersama-sama kita berdoa semoga Allah SWT mendatangkan keputusanNya sendiri.

Kekuatan jentera PAS mesti diperkuatkan dan seterusnya kekuatan gabungan antara parti-parti dalam Pakatan rakyat juga mesti diusahakan sesegera mungkin.

Segera bertindak lantaran kerana PRU 13 semakin menghampiri.

Ya Allah SWT, dengan berkat Nabi dan kekasih Mu, Muhammad bin Abdullah SAW, bantulah kami dalam usaha menegakkan Islam di bumi Negeri Sembilan ini.

Amin.

Sunday, April 11, 2010

Adakah angin perubahan sudah mulai bertiup di Negeri Sembilan?.

Salam penuh pengharapan...

Aku dan ramai sahabat-sahabat terutamanya dari Kawasan Seremban merasa gembira apabila mendengar khabar bahawa PAS Kawasan Seremban sedang dalam usaha dipulihkan kembali.

Secara peribadi, aku telah menghantar beberapa SMS kepada pemimpin-pemimpin PAS Kawasan Seremban yang berbunyi seperti berikut:

Gembira dalam hati. Seremban dan nak kembali. Hendaklah tulus dan merendah diri. Berpakat dan jangan menyusahi. Banyak masalah dapat diatasi. Tahniah dan moga diahmati. Husaini

Aku mendapat dua balasan SMS seperti berikut:

Salam. Terima kasih atas kata dan nasihat saudara. Semoga hasrat dan usaha kita untuk memajukan PAS Seremban dan Negeri Sembilan sentiasa ikhlas dan diterima Allah.

dan SMS kedua seperti berikut:

Salam, o.k. Tq

Untuk memastikan Seremban kembali pulih, semasa mesyuarat agung cawangan aku, satu usul telah diutarakan yang berbunyi "Pas cawangan mendesak BPPNS untuk mengambil segala langkah yang perlu untuk memulihkan PAS Kawasan Seremban pada tahun ini termasuk menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang bermasalah". Usul ini ditarik baik selepas YDP kawasan memaklumkan langkah-langkah wajar telah diambil untuk tujuan tersebut. Usul ini akan diteruskan pada tahun hadapan sekiranya PAS Kawasan Seremban masih gagal dipulihkan pada tahun ini. Apa yang dikhuatirkan, jika PAS Seremban tidak dipulihkan segera, PAS Negeri Sembilan dalam kesukaran dalam PRU 13 nanti.

Aku merasa masih ada harapan dan sinar baru. Mungkin angin perubahan sudah mula bertiup. Mungkin panji-panji kemenangan PAS di Negeri Sembilan sudah mulai berkibar.

Marilah kita semua berdoa dan aku telah mulai mengendurkan kritikan terhadap BPPNS.

Saturday, April 3, 2010

PEMBETULAN TAKLIMAT PRA MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN SEREMBAN

ADALAH DIMAKLUMKAN TAKLIMAT PRA MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN SEPERTI BERIKUT

Tarikh : 18hb April 2010
Masa : 8.30 Malam
Tempat : Gedung Lalang
Taklimat oleh : Ybhg. Dato' Mustafa Ali
( Setiausaha Agung PAS)
Kehadiran : Semua Ketua Cawangan dan Setiausaha Cawangan atau wakil.
Dipetik dari http://czackpy.blogspot.com/

Thursday, April 1, 2010

Ya Allah... bantulah Seremban.

Gembira rasa dalam hati bila Seremban nak bangun semula selepas sekian lama mati. Aku tak kira sama ada betul atau tidak tentang berita ini, namun harapan tetap berbunga dalam sanubari. Semoga Allah SWT membantu usaha murni ini dan menjahanamkan sesiapa yang cuba menghalangi.

Bangunlah Seremban.....

MUTIARA PAS N. SEMBILAN MULA DIGILAP

Alhamdulillah berkat kesabaran kita dengan lorongan yang dibuka oleh Allah akhir sinar cahaya mula timbul memancar kepada semua pejuang PAS di Seremban

Dengan jiwa yang besar pimpinan PAS Seremban dengan bantuan serta cadangan PAS pusat telah memutuskan satu Jawatankuasa Pemandu bagi melaksanakan tanggungjawab mengurus Mesyuarat Agung PAS Kawasan Seremban.

Jawatankuasa Pemandu yang dipersetujui dan dilantik ialah

1) YDP : Ybhg Tuan Hj M.K Ibrahim
2) Tim. : Ybhg CikGu Hasan Taha
3) Naib : Ybhg Tuan Haji Ghazali Mad Som
4) S/usaha : Ybhg Tuan Haji Rahim
5) Ketua Penerangan : Zakaria bin Sheikh Othman
6) AJK : Ybhg Zulkifly Haji Omar

Jawatankuasa Pemandu yang dilantik ini diamanahkan untuk merancang dan menguruskan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Seremban.

Alhamdulillah Mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu pada 29HB Mac 2010 telah bersetuju sebulat suara berkaitan prosedur yang diarahkan oleh PAS Pusat dan memutuskan bahawa satu perjumpaan taklimat pra-mesyuarat Agung bagi memaklumkan segala prosedur kepada semua cawangan seperti berikut:

Tarikh : 18hb April 2010
Masa : 3.00 Petang
Tempat : Dewan SARA Gedung Lalang
Taklimat oleh : Ybhg. Dato' Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS)
Kehadiran : Semua Ketua Cawangan dan Setiausaha Cawangan atau wakil.

Oleh itu diharapkan semua 35 cawangan yang terbabit dapat hubungi Jawatankuasa Pemandu bagi dapat maklumat lanjut.

Jom ahli PAS Seremban kita kembali bangkit sebagai permata PAS di Negeri Sembilan.


Dipetik dari http://czackpy.blogspot.com/

Monday, March 29, 2010

Tolak calon lobi.

Salam perjuangan...

Saya petik kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Tranungkite.com

Ditanya berhubung kenyataan Tuan Guru Nik Aziz semalam yang bersedia berundur, Abdul Hadi berkata ianya menunjukkan sikapnya yang tinggi akhlaknya sesuai dengan tuntutan Islam yang mengajar umatnya untuk tidak meminta jawatan.

"Itu satu moral yang tinggi yang sangat kami hargai. Memang kita dalam Islam diajar tidak meminta jawatan, tidak berebut jawatan dan Islam mengajar orang yang tidak meminta jawatan itu yang layak kita lantik," jelasnya lagi.

http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=3592



Kenapa akhlak tuan guru yang dikasihi ini tidak dijadikan ikutan dan pedoman?. Akhlak Nabi Muhammad SAW usah dibicarakan, jauh langit dari bumi. Pelik dan hairan aku di negeri berangka ini....

Harap presiden cermat dalam melantik Pesuruhjaya Negeri-Negeri supaya jawatan diberi hanya kepada pemimpin yang jawatan tidak diingini, diiktiraf oleh anak negeri dan ahli, merendah diri, akhlak yang tinggi serta takwa yang murni.

Harap presiden berhati-hati terhadap calon yang pandai melobi, ada kenalan rapat peringkat naib presiden dan ajk-ajk pusat parti, lemah dalam ukhwah sesama ahli, menyombong diri, hanya pentingkan diri dan kroni, berniaga urusan tertinggi dalam hidup peribadi, jutawan dan menteri tertinggi idaman dalam hati, tidak berupaya selesai masalah parti peringkat cawangan dan bahagian sendiri, kalah melawan calon tak cukup tinggi, menyalahkan orang lain sebagai penyebab kekalahan yang mengaibkan sekali.

Tolak calon lobi...

Maaf.
والله علم



Sunday, March 28, 2010

Pemimpin dan Rakyat



Firman Allah swt maksudnya :

JANGANLAH KAMU MEMAKAN HARTA ANTARA KAMU DENGAN JALAN SALAH, DAN MEMBERI RASUAH KEPADA HAKIM2 KERANA HENDAK MEMAKAN SEBAHAGIAN HARTA MANUSIA DENGAN CARA BERDOSA SEDANGKAN KAMU MENGETAHUI ( Surah Al Baqarah ayat 188 )

Muhammad B Abdullah, Rasulullah saw terima amanah dari Allah swt menjadi Perdana Menteri Negara Madinah bermula tahun pertama Hijrah hingga tahun ke 10 Hijrah.

Kerajaan Islam Madinah bukti Islam yg makmur dan saksama. Keadilan Islam menjadi payung kepada warga Madinah yg Multi Racial. Rasulullah saw contoh pimpinan yg mencari kejayaan berganda iaitu selesa di dunia dan selamat di akhirat.

Maksud hadis : BEKERJALAH KAMU SEOLAH2 KAMU AKAN HIDUP SELAMANYA DAN BERAMALLAH KAMU SEOLAH2 KAMU AKAN MATI ESOK.

PAS wadah menyambung perjuangan Rasulullah saw. Hidup dan mati untuk Allah swt menjadi akuan kepada penganut Islam. Adakah tindakan dan tanggungjawab sebagai Kerajaan Islam yg dipikul oleh PAS diiktiraf sebagai sunnah Rasulullah saw?

Dasar Islam bukan sekadar teori, umpan bak tanam tebu dibibir mulut. Dasar Islam perlukan praktikal yg maksimum mengikut keupayaan sebenar. Pemimpin PAS wajib mengukur sumbangan yg diberi setelah menerima amanah rakyat.

Pemimpin datang dan pergi, yg baik dipuji dan yg buruk ditolak ke tepi. PAS akan kekal releven selagi dasar Islamnya tak berubah. Hanya Islam akan kekal hingga kiamat. Itu janji Allah swt.

Rakyat selalu berkorban untuk meninggikan Syiar Islam paling tidak 5 tahun sekali. Biar ditekan, ditindas, didiskriminasi, disogok, diugut dan diancam berbagai2 tapi Iman rakyat masih teguh. Demi Islam! Rakyat redha terima susah dan derita.

Sesekali rakyat terfikir juga dengan pengorbanan para pemimpin. Tentu sekali berbeza antara dugaan sebagai pemimpin dengan ancaman sebagai rakyat. Darjat pemikiran juga berbeza.
  • Rakyat beri amanah kepada pemimpin, tolong jaga urusan dunia akhirat kami.
  • Rakyat pilih pemimpin, tolong bina masa depan kami.
  • Rakyat sokong pemimpin, tolong jana ekonomi kami
  • Rakyat rela berhujan panas, tolong jengok kesusahan kami
  • Rakyat pertahankan pemimpin, tolong pertahankan kami

Miskin, susah payah itu lumrah sebagai rakyat. Pemimpin pula bagaimana? Susah juga ke? Pemimpin Islam mesti dekatkan jurang antara rakyat dengan mereka. Taraf hidup rakyat dan pemimpin jangan terlalu jauh.

  • Kalau rakyat berteduh di rumah usang, jangan pula pemimpin memiliki mahligai
  • Kalau rakyat ikat perut, jangan pula pemimpin makan di restoran 5 bintang
  • Kalau rakyat mengayuh basikal, jangan pula pemimpin menaiki kereta mewah
  • Kalau rakyat tidak berduit, jangan pula pemimpin memburu jutawan
  • Kalau rakyat tak mampu membayar yuran sekolah, jangan pula pemimpin hantar anak ke luar negeri
  • Kalau rakyat berpakaian lusuh, jangan pula pemimpin berkot dan bertali leher
Pemimpin wujud kerana rakyat, undi rakyat yg konsisten pada Islam. Rakyat bukan beban tapi amanah. Jangan lari dari tanggungjawab sebagai pemimpin. Rakyat adalah raja dalam sistem demokrasi manakala pemimpin adalah hamba rakyat.

Duhai Pemimpin PAS! Jangan biarkan rakyat berputus asa. PAS dan UMNO tak sama, banyak bezanya. Rakyat kini berpelajaran, tahu memilih antara baik buruk. Inilah masa membalas budi rakyat sepadan dengan sokongan yg diberikan.

Jangan biar rakyat menunggu, mengeluh @ menyesal dengan pilihan mereka. Manusia mungkin berubah, hanya Islam kekal kerana itu janji Allah swt.


Wallahua'lam dari cilipadi007"
http://www.tranungkite.net/v10/modules.php?name=News&file=article&sid=3571

Kerajaan yang baik dengar suara rakyat - Guan Eng.


Kuala Terengganu: Sesebuah kerajaan yang baik dalam melaksanakan tugasnya perlu melaksanakan tiga perkara demi kepentingan rakyat dan bukan untuk kroni.

"Pertama, dengar suara rakyat. Kedua, buat kerja rakyat dan ketiga beri harapan kepada rakyat," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

PAS Negeri Sembilan kena belajar dari Lim Guan Eng..... Kalau suara ahli pun tidak dihirau, buat kerja untuk diri sendiri dan kroni, dan ahli pun sudah putus harapan?, bagaimana dengan rakyat?.

Maaf. Perubahan drastik diperlukan untuk PAS supaya PR memerintah Negeri Sembilan. Berubah atau diubah....

والله علم

Sunday, March 21, 2010

Nasihat dan teguran menggunakan blog.

Salam perjuangan.

Saya telah mendapat beberapa maklumbalas tentang penulisan blog saya ini. Kebanyakkannya menyokong penuh dan ada segelintir yang membantah.

Ada yang menyindir dalam blog dan email. Sahabat lama antara pemimpin tertinggi parti peringkat negeri ingin bersemuka tetapi sudah lebih seminggu tetapi masih belum boleh bersemuka dan saya bersedia untuk bersemuka dengan beliau sahaja. Ada yang menulis email untuk menyatakan tidak setujunya kepada penulisan blog saya ini.

Saya turunkan sebahagian email beliau yang juga antara pemimpin tertinggi parti peringkat negeri seperti berikut:

"SAYA ADALAH DI KALANGAN AHLI YG SGT TIDAK BERSETUJU APABILA ADA AHLI BAHKAN PIMPINAN PAS GUNA BLOG ATAUPUN APA MEDIA UTK KRITIK DAN TEGUR JEMAAH / PIMPINAN, APAKAH TELAH HABIS SEGALA SALURAN PARTI DIGUNAKAN UNTUK NIAT YG BAIK ITU. MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA".

Komen saya:

1) Penulisan dalam HURUF BESAR (Capital letter) hanya dibuat untuk tajuk atau perkataan dan ayat untuk diberi penekanan. Penulisan huruf besar juga menandakan kita "menjerit" (Yelling) atau marah. Sekiranya bukan bertujuan seperti itu, menandakan kita "kurang ajar" (Rude). Saya mengharapkan beliau tidak mengetahui etika penulisan ini dan saya dengan mudah boleh memaafkan. Jika beliau marah, beliau memang berhak untuk marah sekiranya pada pendapatnya saya bersalah tetapi jangan pula "kurang ajar". Itu yang saya tahu....

2) Beliau tidak bersetuju sekiranya ada ahli atau pemimpin menggunakan blog untuk mengkritik dan menegur jemaah dan pemimpin. Itu pandangan dan hak beliau... saya menghormatinya tetapi itu tidak akan menghalang penulisan saya.

3) Persoalan beliau "Adakah sudah habis segala saluran parti untuk niat yang baik itu", saya tidak tahu saluran mana yang efektif untuk ahli biasa untuk memberi pandangan, teguran dan kritikan. Muktamar dan Mesyuarat Agung hanya setahun sekali (Mungkin dah basi isu), ahli biasa memang jauh sekali untuk boleh menjadi perwakilan dan untuk berucap seperti hampir mustahil.

Jika konvensyen dan dialog diadakan untuk ahli bersemuka dengan pemimpin terutama pemimpin negeri kerap diadakan, tak pe juga. Kalau pemimpin merakyat sifatnya, selalu berjumpa ahli-ahli dan rakyat di mana-mana sahaja dan mudah untuk kita berinteraksi, cukup memadai. Hakikatnya semua itu mungkin hanya sekadar mimpi indah di negeri ini.

Takan sampai nak melobi dan membuat aduan ke SU Agung atau presiden pula.

Jika ada cara lain yang efektif selain dari yang telah kami usahakan, maklumkan pada saya. Saya sedia untuk pertimbangkan.

4) Beliau mengatakan bahawa "matlamat tidak menghalalkan cara" iaitu matlamat untuk menegur pemimpin itu baik tetapi menggunakan blog adalah HARAM tidak HALAL. Bila pula PAS mengHARAMkan menggunakan blog untuk menegur pemimpin?.

Saya kutip sebahagian tulisan Misbahul Munir tentang menegur pemimpin iaitu presiden. Beliau bersetuju menggunakan blog untuk menasihati dan menegur pemimpin dengan beberapa syarat. Boleh baca tulisan penuh beliau dalam blognya.



"Kita diajar dalam al quran supaya mendapatkan maklumat dari sumber yang sebenar sebelum kita mengulas apa sahaja isu. Kalau kita sayang pada Presiden bukan macam itu caranya kita menegurnya, ahli PAS berhak tegur dengan apa cara sekalipun, boleh guna blog, sebab itu juga satu cara untuk menegur" (Misbahul Munir).

http://misabah.blogspot.com/2010/02/jangan-tuduh-presiden-pas-dengan-melulu.html



Sekian. Mohon maaf. Teguran dan nasihat itu adalah Ad-Din.

Wallahu'alam.

Wednesday, March 17, 2010

Tanda keberkatan seorang pejuang, Hj Mat Som Manap.



























Suasana di dalam Masjid Johol sewaktu solatkan Allahyarham Hj. Mat Som Manap. Begitu ramai jemaah sehingga padat masjid.

Ada yang sedikit terlambat dan terpaksa solat jenazah kedua dilakukan.

Yang terlambat untuk solatkan Pak Ngah ku ini, ramai juga. Sepatutnya solat jenazah dilaksanakan selepas Zohor tetapi dipercepatkan. Ada yang dapat SMS tentang perubahan ini dan ada juga yang tertinggal.

Jenazah diusung ke dalam kereta jenazah. Aku cuba untuk sama-sama mengusung Allahyarham tetapi terlalu ramai yang mengusung. Tangan ku sendiri sukar nak mencelah untuk memegang pengusung jenazah.







































Kami terlewat sedikit ke kubur dari masjid sebab Ustaz Nazri Yusuf berbincang sesuatu dengan Abg Rahman, YDP Jempol. Tiba sahaja di tanah kubur, jenazah telah dikebumikan dan talkin sedang dibacakan. Amat mudah sekali.

Beginilah suasana pusara seorang pejuang.



Pusara seorang pejuang, Hj. Mat Som Manap.

Al-fatihah untuk Pak Ngah, semoga beliau ditempatkan dalam kalangan pejuang-pejuang agama yang ikhlas.

Tuesday, March 16, 2010

Allahyarham Pak Ngah, Hj. Mat Som Manap yang dikagumi.


Gambar: Allahyarham Hj. Mat Som Manap.

Salam perjuangan,

Kita baru sahaja kehilangan PERMATA yang berharga di Negeri Sembilan ini. Haji Mat Som Manap telah kembali mengadap Allah SWT jam 8.00 malam sebentar tadi. Sedih sungguh dan sebak di hati. Tidak tertahan agar air mata ku ini tidak tertumpah ke bumi.

Beliau yang aku kenali, garang menghadapi musuh iaitu UMNO dan BN tidak terperi, sangat peramah personaliti sesama ahli, sangat merendah diri, suka memasak terutama sewaktu pilihanraya kecil dan untuk program Pas di sana-sini, suka bergaul dengan muda-mudi, senyuman sentiasa di pipi walau pun kumis melintang dan janggut pahlawan sangat digeruni, tidak berpolitik sesama ahli dan tidak pula pandai melobi. Semua orang senang dengan Pak Ngah pejuang sejati Pas Negeri Sembilan ini.

Beliau yang aku kenali sangat garang sewaktu mengajar dalam kursus PACA. Mengajar dan melatih PACA sewaktu pilihanraya kecil Bagan Pinang, adalah kenangan kami bersama. Walau pun kesihatannya agak kurang memuaskan kerana sakit dan suaranya yang tidak berapa terbaca, namun beliau gigih menjaga UPU beliau dan melatih PACA.

Aku masih ingat kata-katanya "Husaini, kau garang melatih PACA tapi kalau Pak Ngah sihat lagi, Pak Ngah lagi garang melatih PACA supaya mereka garang dan berani menghadapi sebarang kemungkinan nanti bila terpaksa". Seorang bekas askar seperti ayahanda ku juga.

Kenapa pemimpin tertinggi negeri dan exconya tidak mahu berubah seperti pak Ngah yang aku kagumi ini?. Seandainya mereka seperti Pak Ngah ku ini semuanya sekali, pasti Negeri Sembilan ini milik PAS dalam PRU ke 13 nanti. Insya Allah.

Pak Ngah, Hj. Mat Som Manap akan sentiasa diingati dan dikagumi. Ingatan saya semoga saya, pemimpin tertinggi PAS negeri dan exconya, supaya sentiasa berbuat kebaktian agar diingati dan dikagumi seperti pak Ngah ku ini, dan sekurang-kurangnya jangan membuat onar pula nanti dicemuhi dan dibenci walaupun sudah dikebumi nanti.

Al-Fatihah untuk Pejuang Sejati Negeri Sembilan ini, Hj. Mat Som Manap yang aku kagumi.

Mohon maaf. Wallah'ulam.

Kisah seterusnya http://lobai-kampung.blogspot.com/2010/03/kehilangan-besar-buat-pas-negeri.html

Sunday, March 7, 2010

Maleh nak cakap.....menyampah

Khabarnya PAS Seremban dah nak hidup semula, dari haram dah jadi halal, dari digantung nak dilepaskan semula. Tapi bersyarat dan syarat tu tak de dalam mana-mana fasal dalam perlembagaan. Buat syarat sendiri walaupun syarat tu haram dan memang haram dari segi perlembagaan, malah Pas Kawasan boleh dan layak digantung semula kalau terima syarat itu.

Hang pa punya ka parti ini?.

Bagaimana boleh meletakkan syarat supaya menerima 7 cawangan baru untuk mesyuarat kawasan, sedangkan cawangan itu didaftarkan semasa Pas Kawasan Seremban digantung, Pas Kawasan seremban tak da....sapa buat kerja. Kalau pusat yang luluskan memang bangang, kalau pusat terima syarat ini, memang bangang.

Sepatutnya, Pas Seremban dihidupkan bukan untuk menjaga kepentingan atau "air muka" MK Ibrahim atau Zulkifli, tetapi sebagai suatu tindakan untuk meneruskan perjuangan Islam. Kalaulah tindakan bias atau tidak adil atau zalim dilakukan ketika mempunyai kuasa yang sedikit ini, aku tidak percaya jika diberi kuasa yang besar.

Biarkan sahaja Jawatankuasa yang lama menguruskan sehingga pemilihan, selepas itu terpulang kepada ahli hendak memilih siapa yang mereka yakini. Saya percaya ramai ahli baru yang tidak mengenali AJK lama, maka apa yang perlu dikhuatiri oleh pihak-pihak yang berminat dengan Pas Seremban atau dalam kata mudah, geng Zul nak risau apa... awak boleh kempen hari-hari malah sudah berkempen begitu lama.

Wakil yang sepatutnya tidak memihak mana-mana pun meletakkan syarat, kalau nak hidupkan Pas seremban mesti Zul jadi YDP untuk jaga air muka. Alahai....aku kenal kau jang.

Maleh nak cakap la....menyampah

Dipetik dari blog kafe pak andak http://motivasipakandak.blogspot.com/

Thursday, March 4, 2010

KUTUK?





Salam,

Kami bersahabat tersangatlah lama,
Mungkin lebih lama dari bertemu si ketua,
Pernah berkempen di felda bersama-sama,
Pernah kami hampir terjunam ke parit bersama kereta,
Pernah kemalangan terkorban sahabat berdua,
Beliau terselamat hingga tua,
Menjadi antara pemimpin tertinggi jua.

Kenangan lama kini mungkin sudah dilupa,
Aku dikata berblog untuk mengutuk saja,
Mungkin untuk pertahankan si ketua,
Yang kini sudah menjadi saudara-mara,
Mungkin akan dipertahankan tak kira apa,
Moga Allah SWT ampunkan aku dan juga dia,

Berblog memang tidak selesaikan masalah kita,
Cuma luahan dan coretan dari rakyat jelata,
Aku kutip sebagai luahan rasa,
Untuk bersemuka, malas semua,
Kerana tiada dokumen yang boleh dibawa,
Apatah lagi berdepan dengan orang bijak bermain kata,
Pelbagai alasan menutup mulut tidak terbuka,
Akhirnya hati kita yang merana,
Menjadi seteru pula selama-lama.

Perpaduan datang dari hati,
Yang disemat oleh Ilahi,
Atas kejujuran dan rendah hati,
Oleh pemimpin dan juga ahli,
Bukan atas usaha dan ego sendiri,
Yang tidak membawa sebarang erti.

Memang ahli membawa kerumitan (masalah),
Rakyat juga sering mengadu kesukaran,
Inilah sunah suratan alam,
Untuk pemimpin-pemimpin selesaikan,
Gunakanlah segala kepakaran,
Jika tidak sanggup, letak jawatan!.

Jangan pula pemimpin bawa kemusykilan,
Menjadikan imej parti dalam persoalan,
Menyebabkan kehidupan ahli dalam kesulitan,
Dijaja orang hingga ke Kelantan,
Sehingga ada yang hilang kesabaran,
Takan ahli dan rakyat pula nak selesaikan!.

Pemimpin yang baik sedikit bersisa,
Yang sentiasa berada di hati manusia,
Hati ikhlas dan minda terbuka,
Bukan menyalah pemimpin dulu kala,
Segala masalah dirungkai bersama,
Dibantu Allah SWT tidak terhingga.

Harap tersedar dan jangan alpa,
Kemenangan dari sokongan merata,
Termasuk dokongan ahli parti kita,
Mendokong pemimpin yang bertaqwa,
Pemimpin yang merakyat sifatnya,
Sentiasa tersenyum manis di muka.

Ampun maaf dari hamba,
Meluah apa yang rakyat kata,
Tentang parti dan pemimpin kita,
Semoga bermanfaat buat si ketua,
Juga untuk semua exco-exconya,
Tidak terlupa untuk sahabat lama,
Semoga terus maju dan berjaya!.

Wallahua'lam.

Sunday, February 28, 2010

Mari bermunajat....



Ya Allah, Ya Tuhan ku, Aku merintih merayu kepada Mu supaya PAS Negeri Sembilan dan seluruhnya kembali bersatu-padu. Kau jadikan lembut, semua kalbu-kalbu itu iaitu selembut sutera dan baldu. Agar ukhwah berpadu dan fikrah kembali menjadi satu yang telah sekian lama bercelaru. Aku memohon kekuatan dan restu untuk PAS Negeri Sembilan dan keseluruhannya untuk berhadapan dengan seteru yang satu iaitu UMNO dan sekutu. Sesungguhnya Engkau Maha Penentu.

Ya Allah, Ya Ilahi, Kau jadikan ahli dan pemimpin yang egois, mementingkan kroni dan diri sendiri terutama pemimpin parti tertinggi dalam negeri supaya menginsafi dan mengubah diri. Jika tidak, Engkau sampaikan kepada Presiden Parti yang kami telah hilang kepercayaan kepada pemimpin yang hanya pandai melobi. Kau kurniakanlah pemimpin penganti yang berintegriti kepada kami seperti al-Mahdi supaya Islam kembali tinggi dan hanya Engkaulah semata-mata manusia mengabdikan diri. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui.

Ya Allah, Al-Wali, Kau carik-carikan Pakatan Rakyat ini seandainya hanya Islam yang rugi tetapi Kau kuatkanlah ia seutuh besi kursani seandainya itu menguntungkan Islam ini. Kau sisihkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang ada kepentingan dan agenda peribadi supaya kemenangan menjadi realiti. Sesungguhnya Engkau Maha Mengerti.

Ya Allah, Ya Tuhan ku, Kau selitkan rasa keinsafan kepada pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak menyekutukan Mu. Bersedia dan ikhlas untuk mendaulatkan Islam tanpa ragu-ragu. Sekiranya sebaliknya, Engkau hancurkan mereka sehingga menjadi debu. Sesungguhnya Engkau Maha Tahu.

Ya, Ilahi, makbulkan permintaan aku yang dhaif ini.

Wednesday, February 24, 2010

MALU AKU...


MALU AKU...
Cawangan yang aku ketuai hampir rebah menyembam ke bumi. Apatah lagi jika cawangan sudah lama mati.

MALU AKU...
Aku bekas ketua pemuda tetapi PASTI dan Unit Amal di tempat ana sudah tiada dan entah ke mana.

MALU AKU...
Aku bercita-cita nak memerintah negeri tetapi kawasan dan negeri tiada bangunan sendiri.

MALU AKU...
Berazam untuk menjadi menteri tertinggi tapi parti kawasan sudah lama berkalang bumi.

MALU AKU...
Ahli telah banyak menyumbangi dari segi materi berkali-kali. Ada yang menjual tanah demi impian parti untuk membina mahligai seperti dalam mimpi. Namun sehingga kini, bayangan mahligai masih belum tersaksi oleh mata sendiri.

MALU AKU...
Pengundi menolak aku di kawasan sendiri tapi teringin sangat nak bertanding di tempat jauh di hujung negeri.

MALU AKU...
Orang tak sudi memberi laluan aku berbicara, tak mahu menghulur pembesar suara tapi aku tetap memaksa.

MALU AKU...
Mengangkat diri sebagai pejuang dalam parti tapi kemenangan semakin menjauhi.

MALU AKU...
Islam mengajar untuk merendah diri tapi aku sukar menerima kritikan ahli.

MALU AKU...
Aku meminta rakyat menukar pemerintah negeri kerana pelbagai korupsi, nepotisme dan kroni tapi aku berat nak merombak AJK parti walaupun AJK tersebut sudah lama duduk di tampok kerusi dan tiada perubahan besar yang boleh parti harapkan lagi.

MALU AKU...
Dalam parti berpuak-puak. Saling menuduh dan saling bertekak. Pemimpin dulu-duluan dah naik muak.

Aku pula mengaku ketua yang pandai tapi tak tahu juga macam mana nak damai. Mungkin masalah lama susah nak selesai atau ego aku yang masih kuat merantai atau sombong aku yang seluas pantai!

MALU AKU...
Orang kata "Hidung aku tak mancung, pipi aku pula tersorong-sorong".

MALU AKU...
Islam mengajar supaya menjaga ukhwah dan bersatu, tetapi habis semua aku jadikan seteru.

MALU AKU...
Sesama Islam dan sesama ahli adalah saudara, kenapa dalam bab niaga aku hanya fikirkan laba. Biar layu anak gaharu, asal wang tetap penuh di saku!

SANGAT MEMALUKAN AKU....
Bila berketuakan orang yang tak tahu malu!. Semua yang mengaibkan ada pada diri tapi dipandang hanya sambil lalu.

Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah!.

Mohon maaf dari semua sekali dan keampunan Ilahi sebab menegur perkara sumbang dalam parti dan pemimpin sendiri, kerana perkara sebegini boleh merosakkan parti dan mengaibkan semua ahli.

Wallahu'alam.

Monday, February 22, 2010

Jangan ada kronisme dan nepotisme dalam PAS.



Salam perjuangan,

Barah terjadi beransur-ansur. Mustahil ia terjadi serta merta kecuali melibatkan lain unsur. Mungkin ianya tidak disedari, cuma tersedar apabila kubur mengamit mari.

Amalan kronisme dan nepotisme dalam kalangan Barisan Nasional sangat membarah. Logiknya ia sukar diubati dan kini cuma pasrah. Hanya menunggu saat kematian yng hampir tiba. Kesedaran bahawa amalan ini boleh menumpaskan BN sudah tidak bermakna. Membarahnya amalan ini, pastinya dari amalan secara kecil-kecilan tanpa disedari seperti juga terbentukya sel barah pada diri.

PR dan PAS telah menang dan hampir menang di beberapa buah negeri. Kemenangan ini merupakan kepercayaan dan undian anak negeri. Yang jelas, ia merupakan suatu anugerah dan amanah dari Ilahi. Dengan kemenangan ini, terbukalah ruang dan peluang amalan nepotisme dan kronisme bertapak dan merebak dalam kalangan PR dan PAS itu sendiri.

Saya menasihati semuanya sekali, supaya memerhatikan amalan ini di dalam kerajaan negeri dan parti. Jangan biarkan amalan ini berputik. Sekiranya ianya berputik, ia akan merebak dan menghalangnya terlalu serik.


Gambar: YB Hj. Taufek Abd Ghani (ADUN Paroi) dan Ustaz Khairil Anwar Wafa (Ketua DPPNS). Tolong pastikan kronisme dan nepotisme tidak berputik dalam kalangan PR dan PAS di negeri ini.

Nasihatilah, pimpinlah dan ambil segala tindakan yang perlu untuk memberhentikan amalan ini walau hanya segelumit. Sebarang justifikasi untuk membenarkan amalan ini walau yang sangat mulus seperti "Demi untuk perjuangan Islam" mesti ditentangi. YB Taufek, ADUN Paroi mesti mengambil inisiatif terutama di negeri ini. Sebelum itu, pastikan Rembau dan Paroi tidak terpalit dengan najis ini. Semoga PR dan PAS terus maju untuk memerintah negeri tanpa adanya amalan yang kita sangat benci yang memusnahkan BN dewasa ini.

Jangan seperti 'Paku dulang, paku serpih; mengata orang kita yang lebih". Ianya akan merosakkan kepercayaan rakyat dan terpenting mengingkari dan mengkhianati amanah anugerah Ilahi.

Wallahu'alam. Mohon maaf dari semua dan Keampunan dari Allah SWT Yang Maha Mengetahui.

Thursday, February 18, 2010

Pantun nasihat untuk pemimpin sebuah negeri.





Pantun ini untuk menasihati,
Pemimpin parti sebuah negeri;
Pelbagai kisah menggelikan hati,
Menjadi bualan anak negeri.

Ketuanya ada master degree,
Hitam manis tidak berseri;
Nampak sombong tidak terperi,
Meluat semua para pengundi.

Bertanding pasti, kerusi dimiliki,
Mengalah sesiapa yang menyaingi;
Alangkah kecewa semua ahli,
Kalah teruk dengan si tua tak cukup tinggi.

Impian menjadi menteri tertinggi,
Jika parti memerintah negeri;
Titah perintah mesti dituruti,
Siapa membangkang akan dibenci.

Diri maksum mirip nabi,
Siapa mengkritik, dialah disesahi;
Dilabel sebagai menderhakai,
Juga pemusnah parti sebuah negeri.

Kisah pembantu mencuit rasa,
Gelaran cikgu cucu nabi;
Kerja menghentam sini-sana,
Agar ketua tidak berkecil hati.

Tugas sebagai pengatur ceramah,
Bercakap di pentas tak dengar suara;
Mesyuarat pilihanraya hadir tak pernah,
Ketua kalah teruk angkara si dia.

Bergaduh merebut pembesar suara,
Atas pentas anjuran lain negeri;
Kejadian memalukan tiada tara,
Inilah dia “itik bertaji”.

Kain berlipat dalam istana,
Pakaian puteri raja kayangan;
Sepatah nasihat ilmu yang berguna,
Secubit budi jadi kenangan.

Pantun nasihat akan berakhir,
Untuk pemimpin sebuah negeri;
Jangan seperti “garam jatuh ke air”,
Nanti ditolak rakyat, dibenci ahli.

Wednesday, February 17, 2010

Simptom penyakit kemenangan yang MERBAHAYA




Salam perjuangan,

Memori silam suatu ketika dulu di kampus diimbau kembali. Ketika itu, aku masih tidak terlibat dalam perjuangan PAS dan adakalanya skeptikal dengan perjuangan ini.

Ketika itu Mahasiswa yang menyokong PAS menang besar dan punyai gaya tersendiri. Masih aku ingat lagi, simptom penyakit kemenangan yang sangat MERBAHAYA telah merebak di kalangan mahasiswa yang menyokong PAS ini. Penyakit itu adalah KESOMBONGAN, KEAKUAN, GILA KUASA dan MEGAH DIRI.

Penyakit ini merebak dengan pantas sehinggakan suatu hari, aku mendengar Allahyarham Zakaria Mohd Noor ketika itu Presiden MPP, menasihati Allahyarham Sakuang Ismail supaya merendah diri walau pun telah menjadi SU Agung MPP yang termuda dalam sejarah kampus ini. Beliau berkata "Sakuang....... tak mengapa sekiranya kita merendah diri kerana dengan merendah diri, kehormatan dan maruah diri tidak akan terjejas seperti ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya". Lembutnya nasihat tersebut menusuk hati....

Kedua-dua permata ini telah "hilang" menuju Ilahi dan sekiranya aku mengingatkan mereka berdua, boleh mengalirkan air jernih mata ku ini... Seorang adalah pejuang yang sangat merendah diri dan seorang lagi terlalu tinggi kenyakinan diri. Al-Fatihah untuk pejuang ini yang pergi ketika kita masih memerlukan mereka lagi. Moga kerahmatan Ilahi untuk mereka dan kita semua di akhirat nanti.


Gambar: Allahyarham Zakaria Noor Bekas YDP Muar

Ketika ini aku telah bergelanggang dalam perjuangan ini. Aku menjadi hairan, pelik, jelek dan gusar kerana simptom yang sama telah menular dalam kalangan pemimpin tertinggi di semua peringkat parti. KESOMBONGAN, KEAKUAN, GILA KUASA dan MEGAH DIRI telah merebak dalam diri segelintir pemimpin PAS termasuk pemimpin peringkat negeri. Pemimpin pusat, aku tidak pasti. Dari posting yang lepas, kebimbangan yang sama diluahkan oleh Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, tuan guru yang dikasihi.

Yang pelik dan hairannya ialah simptom yang sepatutnya menular setelah negara dan negeri dikuasai dan dimenangi, telah mulai menular ketika ini iaitu ketika PAS atau PR masih belum dapat memerintah negara dan kebanyakan negeri!.

Jelek aku kerana ada yang mendakwa sekiranya PAS memerintah negeri, pasti dia yang akan menjadi menteri tertinggi!. Dia mesti dihormati dan segala titah perintah beliau mesti diikuti. Sebarang penafian atau bangkangan ideanya dianggap sebagai menderhakai serta membenci bakal menteri tertinggi!

Kegusaran aku bertambah kerana karenah segelintir pemimpin sebegini, massa mulai merasa jelek kepada mereka dan PAS itu sendiri!

Ingatlah pesanan Allahyarham Zakaria Noor yang diingati, "Ular yang menyusur akar, tidak akan hilang bisanya". Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. Jangan kerana segelintir pemimpin, rosak perjuangan PAS yang suci ini.

Mohon maaf sekadar ingatan dan saling menasihati.

Pautan kisah ustaz Zakaria Noor http://adham-alharaki.blogspot.com/2009/04/pejuang-dan-murabbi-contoh.html

Monday, February 15, 2010

Jawatan : Antara Rebutan di dunia ...


Assalamu'alaikum wm wb,

Sahabat-sahabat pimpinan jama'ah yang dikasihi,

Kita hendaklah sentiasa memuhasabahkan diri agar kita sentiasa berada di jalan yang benar dan diredhai Allah SWT.

Sebentar tadi(jam 2.30pm) Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man menghubungi saya. Antaranya memohon agar saya memasukkan tulisannya ini dalam blog saya untuk renungan kita semua khususnya pimpinan di peringkat kawasan, negeri, pusat dan dewan-dewan.

Tulisan beliau adalah seperti di bawah; Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-Ghifari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu nabi menyatakan

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan akan dukacita dan menyesal ; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya".

Hadis ini seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan, kerana beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti. Muawiyah bin Abu Sufyan disaat kematiannya menungkapkan kata-kata masyhur ‘Alangkah sedikitnya bekalan, alangkah jauhnya perjalanan dan alangkah beratnya bebanan’.

Rasulullah juga pernah memberi amaran antara lain mafhumnya ‘Jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya’. Alhamdulillah, semangat keimanan tersebut telah tersemat kukuh dalam jamaah kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut.

Tetapi kita juga sedar dengan apa yang diucapkan oleh Presiden, menerima jawatan dalam jamaah adalah perlumbaan untuk membuat kebaikan dan memperjuangkan Islam. Kita rasa seronok bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada jamaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.

Betapa ramainya golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini sanggup korbankan harta, masa dan tenaga untuk kemenangan Islam, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.

Jamaah kita didokongi oleh ahli yang ikhlas, kepimpinan yang wibawa dan kemantapan jamaah yang hebat. Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat jamaah yang kita ada.
Mereka cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba laga-lagakan antara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak jadi jurucakap bagi pihak musuh. Dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah SAW antara lain Baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri (enggan menerima) maka aku tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar(Nauzubillah. Oleh itu pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harap. Takut Rasulullah SAW murka, dan harap Allah SWT bantu dengan amanah ini.oleh itu menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah ahli bawahan meneliti dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi, meletakkan kepentingan jamaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan jamaah kita.

Namun kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya. Kita harus sedar, setelah diputus oleh jamaah maka kita mesti wala’ kepada kepimpinan yang dipilih. Perlantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya ‘walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun’.
Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal wala’ akan berpanjangan sehingga muktamar akan datang. Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan kawasan, dewan dan akan terpilih dalam muktamar pusat, ingatlah akan doa saidina Umar alKhattab
“ Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat di akhirat”.
Ingatlah kita sebenarnya belum diuji oleh Allah dengan kemenangan besar yang menanti kita- Semoga Allah tidak menguji kita sebagaimana Allah menguji umat sebelum kita, Wassalam.
Mau'izah untuk ana dan para sahabat;
Tuan Ibrahim Tuan Man,

Dipetik dari halaman http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/05/jawatan-antara-rebutan-di-dunia.html