Friday, July 23, 2010

Hutang...

Salam...

Ramai yang berhutang dalam kehidupan serba maju dewasa ini..... termasuk diri saya sendiri. Jika berhutang dengan bank atau institusi kewangan, selalunya kita berhati-hati. Namun begitu ia menjadi beban yang sangat berat terutamanya ketika bayaran ansuran tertunggak berbulan-bulan. Ada yang menyorokkan kereta kerana takut bank menarik kereta tersebut dan malahan ada yang diistiharkan muflis angkara hutang seperti hutang kad kredit.

Yang paling mengecewakan adalah apabila kita berhutang dengan saudara-mara dan sahabat-sahabat. Ada di antara kita tidak bersikap seperti kita meminjam dari institusi kewangan. Malahan ada yang lebih lembut gusi dari lidah apabila hendak meminjam tetapi memberi jutaan dalih atau menghilangkan diri ketika pemiutang yang terdiri dari saudara atau sahabat-sahabatnya sendiri ketika mereka ingin meminta hutangnya.

Seorang saudara saya di Perak pernah berkata bahawa beliau tidak akan memberi hutang kepada saudara-mara atau kawan-kawan sekiranya beliau merasa terbeban dengannya. Beliau lebih suka memberi sedekah atau menderma dengan jumlah yang tidak merisaukannya. Ini adalah kerana takut hutang tak berbayar dan beliau akan keresahan serta bermusuhan pula dengan saudara dan rakan-rakannya. Beliau kini merupakan usahawan yang berjaya.Adakah prinsip dan pegangan sebegini boleh dipegang untuk masalah hutang ini?.

Seorang kenalan saya dari Kelantan pula berbeza..... beliau akan memberikan hutang kepada saudara-mara dan rakan-rakan dengan segala kemampuannya. Kekadang beliau terkenangkan juga hutang-hutang yang beliau berikan tetapi selalunya beliau  tidak menghiraukannya langsung. Sehingga ada yang simpati kepada beliau kerana atas kepemurahan hatinya, ada yang seperti mengambil kesempatan dengan berkali-kali berhutang dengan segala kepakaran meraih simpati, namun tidak pernah menjelaskan hutang walau pun sekali. Walaupun demikian beliau juga merupakan usahawan yang berjaya juga. Adakah prinsip dan pegangan sebegini boleh dipegang?.


Rasulullah s.a.w ada menjelaskan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksudnya :  

“Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambil dengan niat akan membinasakannya dengan tidak membayarnya maka Allah akan membinasakan dia”.

Nabi tercinta Muhammad saw sangat takut berhutang dan terperangkap dengan hutang. Baginda sering berdoa yang maksudnya:

"Ya Tuhanku, aku berlindung diri kepadamu dari bebanan hutang dan dari dikuasai orang lain”.

Marilah fikir-fikirkan. Hutang kita tetap wajib dibayar kerana Nabi teragung Muhammad saw bersabda bermaksud:

"Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.

(Riwayat Imam At-Tarmizi, Ahmad & Ibni Hibban)

Untuk maklumat lanjut, sila baca sini.

Sekian. Semoga kita dibebaskan dari berhutang dan redha sekiranya orang lain tidak membayar hutangnya kepada kita. Wallahu'alam.