Sunday, February 28, 2010

Mari bermunajat....



Ya Allah, Ya Tuhan ku, Aku merintih merayu kepada Mu supaya PAS Negeri Sembilan dan seluruhnya kembali bersatu-padu. Kau jadikan lembut, semua kalbu-kalbu itu iaitu selembut sutera dan baldu. Agar ukhwah berpadu dan fikrah kembali menjadi satu yang telah sekian lama bercelaru. Aku memohon kekuatan dan restu untuk PAS Negeri Sembilan dan keseluruhannya untuk berhadapan dengan seteru yang satu iaitu UMNO dan sekutu. Sesungguhnya Engkau Maha Penentu.

Ya Allah, Ya Ilahi, Kau jadikan ahli dan pemimpin yang egois, mementingkan kroni dan diri sendiri terutama pemimpin parti tertinggi dalam negeri supaya menginsafi dan mengubah diri. Jika tidak, Engkau sampaikan kepada Presiden Parti yang kami telah hilang kepercayaan kepada pemimpin yang hanya pandai melobi. Kau kurniakanlah pemimpin penganti yang berintegriti kepada kami seperti al-Mahdi supaya Islam kembali tinggi dan hanya Engkaulah semata-mata manusia mengabdikan diri. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui.

Ya Allah, Al-Wali, Kau carik-carikan Pakatan Rakyat ini seandainya hanya Islam yang rugi tetapi Kau kuatkanlah ia seutuh besi kursani seandainya itu menguntungkan Islam ini. Kau sisihkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang ada kepentingan dan agenda peribadi supaya kemenangan menjadi realiti. Sesungguhnya Engkau Maha Mengerti.

Ya Allah, Ya Tuhan ku, Kau selitkan rasa keinsafan kepada pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak menyekutukan Mu. Bersedia dan ikhlas untuk mendaulatkan Islam tanpa ragu-ragu. Sekiranya sebaliknya, Engkau hancurkan mereka sehingga menjadi debu. Sesungguhnya Engkau Maha Tahu.

Ya, Ilahi, makbulkan permintaan aku yang dhaif ini.

Wednesday, February 24, 2010

MALU AKU...


MALU AKU...
Cawangan yang aku ketuai hampir rebah menyembam ke bumi. Apatah lagi jika cawangan sudah lama mati.

MALU AKU...
Aku bekas ketua pemuda tetapi PASTI dan Unit Amal di tempat ana sudah tiada dan entah ke mana.

MALU AKU...
Aku bercita-cita nak memerintah negeri tetapi kawasan dan negeri tiada bangunan sendiri.

MALU AKU...
Berazam untuk menjadi menteri tertinggi tapi parti kawasan sudah lama berkalang bumi.

MALU AKU...
Ahli telah banyak menyumbangi dari segi materi berkali-kali. Ada yang menjual tanah demi impian parti untuk membina mahligai seperti dalam mimpi. Namun sehingga kini, bayangan mahligai masih belum tersaksi oleh mata sendiri.

MALU AKU...
Pengundi menolak aku di kawasan sendiri tapi teringin sangat nak bertanding di tempat jauh di hujung negeri.

MALU AKU...
Orang tak sudi memberi laluan aku berbicara, tak mahu menghulur pembesar suara tapi aku tetap memaksa.

MALU AKU...
Mengangkat diri sebagai pejuang dalam parti tapi kemenangan semakin menjauhi.

MALU AKU...
Islam mengajar untuk merendah diri tapi aku sukar menerima kritikan ahli.

MALU AKU...
Aku meminta rakyat menukar pemerintah negeri kerana pelbagai korupsi, nepotisme dan kroni tapi aku berat nak merombak AJK parti walaupun AJK tersebut sudah lama duduk di tampok kerusi dan tiada perubahan besar yang boleh parti harapkan lagi.

MALU AKU...
Dalam parti berpuak-puak. Saling menuduh dan saling bertekak. Pemimpin dulu-duluan dah naik muak.

Aku pula mengaku ketua yang pandai tapi tak tahu juga macam mana nak damai. Mungkin masalah lama susah nak selesai atau ego aku yang masih kuat merantai atau sombong aku yang seluas pantai!

MALU AKU...
Orang kata "Hidung aku tak mancung, pipi aku pula tersorong-sorong".

MALU AKU...
Islam mengajar supaya menjaga ukhwah dan bersatu, tetapi habis semua aku jadikan seteru.

MALU AKU...
Sesama Islam dan sesama ahli adalah saudara, kenapa dalam bab niaga aku hanya fikirkan laba. Biar layu anak gaharu, asal wang tetap penuh di saku!

SANGAT MEMALUKAN AKU....
Bila berketuakan orang yang tak tahu malu!. Semua yang mengaibkan ada pada diri tapi dipandang hanya sambil lalu.

Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah!.

Mohon maaf dari semua sekali dan keampunan Ilahi sebab menegur perkara sumbang dalam parti dan pemimpin sendiri, kerana perkara sebegini boleh merosakkan parti dan mengaibkan semua ahli.

Wallahu'alam.

Monday, February 22, 2010

Jangan ada kronisme dan nepotisme dalam PAS.



Salam perjuangan,

Barah terjadi beransur-ansur. Mustahil ia terjadi serta merta kecuali melibatkan lain unsur. Mungkin ianya tidak disedari, cuma tersedar apabila kubur mengamit mari.

Amalan kronisme dan nepotisme dalam kalangan Barisan Nasional sangat membarah. Logiknya ia sukar diubati dan kini cuma pasrah. Hanya menunggu saat kematian yng hampir tiba. Kesedaran bahawa amalan ini boleh menumpaskan BN sudah tidak bermakna. Membarahnya amalan ini, pastinya dari amalan secara kecil-kecilan tanpa disedari seperti juga terbentukya sel barah pada diri.

PR dan PAS telah menang dan hampir menang di beberapa buah negeri. Kemenangan ini merupakan kepercayaan dan undian anak negeri. Yang jelas, ia merupakan suatu anugerah dan amanah dari Ilahi. Dengan kemenangan ini, terbukalah ruang dan peluang amalan nepotisme dan kronisme bertapak dan merebak dalam kalangan PR dan PAS itu sendiri.

Saya menasihati semuanya sekali, supaya memerhatikan amalan ini di dalam kerajaan negeri dan parti. Jangan biarkan amalan ini berputik. Sekiranya ianya berputik, ia akan merebak dan menghalangnya terlalu serik.


Gambar: YB Hj. Taufek Abd Ghani (ADUN Paroi) dan Ustaz Khairil Anwar Wafa (Ketua DPPNS). Tolong pastikan kronisme dan nepotisme tidak berputik dalam kalangan PR dan PAS di negeri ini.

Nasihatilah, pimpinlah dan ambil segala tindakan yang perlu untuk memberhentikan amalan ini walau hanya segelumit. Sebarang justifikasi untuk membenarkan amalan ini walau yang sangat mulus seperti "Demi untuk perjuangan Islam" mesti ditentangi. YB Taufek, ADUN Paroi mesti mengambil inisiatif terutama di negeri ini. Sebelum itu, pastikan Rembau dan Paroi tidak terpalit dengan najis ini. Semoga PR dan PAS terus maju untuk memerintah negeri tanpa adanya amalan yang kita sangat benci yang memusnahkan BN dewasa ini.

Jangan seperti 'Paku dulang, paku serpih; mengata orang kita yang lebih". Ianya akan merosakkan kepercayaan rakyat dan terpenting mengingkari dan mengkhianati amanah anugerah Ilahi.

Wallahu'alam. Mohon maaf dari semua dan Keampunan dari Allah SWT Yang Maha Mengetahui.

Thursday, February 18, 2010

Pantun nasihat untuk pemimpin sebuah negeri.





Pantun ini untuk menasihati,
Pemimpin parti sebuah negeri;
Pelbagai kisah menggelikan hati,
Menjadi bualan anak negeri.

Ketuanya ada master degree,
Hitam manis tidak berseri;
Nampak sombong tidak terperi,
Meluat semua para pengundi.

Bertanding pasti, kerusi dimiliki,
Mengalah sesiapa yang menyaingi;
Alangkah kecewa semua ahli,
Kalah teruk dengan si tua tak cukup tinggi.

Impian menjadi menteri tertinggi,
Jika parti memerintah negeri;
Titah perintah mesti dituruti,
Siapa membangkang akan dibenci.

Diri maksum mirip nabi,
Siapa mengkritik, dialah disesahi;
Dilabel sebagai menderhakai,
Juga pemusnah parti sebuah negeri.

Kisah pembantu mencuit rasa,
Gelaran cikgu cucu nabi;
Kerja menghentam sini-sana,
Agar ketua tidak berkecil hati.

Tugas sebagai pengatur ceramah,
Bercakap di pentas tak dengar suara;
Mesyuarat pilihanraya hadir tak pernah,
Ketua kalah teruk angkara si dia.

Bergaduh merebut pembesar suara,
Atas pentas anjuran lain negeri;
Kejadian memalukan tiada tara,
Inilah dia “itik bertaji”.

Kain berlipat dalam istana,
Pakaian puteri raja kayangan;
Sepatah nasihat ilmu yang berguna,
Secubit budi jadi kenangan.

Pantun nasihat akan berakhir,
Untuk pemimpin sebuah negeri;
Jangan seperti “garam jatuh ke air”,
Nanti ditolak rakyat, dibenci ahli.

Wednesday, February 17, 2010

Simptom penyakit kemenangan yang MERBAHAYA




Salam perjuangan,

Memori silam suatu ketika dulu di kampus diimbau kembali. Ketika itu, aku masih tidak terlibat dalam perjuangan PAS dan adakalanya skeptikal dengan perjuangan ini.

Ketika itu Mahasiswa yang menyokong PAS menang besar dan punyai gaya tersendiri. Masih aku ingat lagi, simptom penyakit kemenangan yang sangat MERBAHAYA telah merebak di kalangan mahasiswa yang menyokong PAS ini. Penyakit itu adalah KESOMBONGAN, KEAKUAN, GILA KUASA dan MEGAH DIRI.

Penyakit ini merebak dengan pantas sehinggakan suatu hari, aku mendengar Allahyarham Zakaria Mohd Noor ketika itu Presiden MPP, menasihati Allahyarham Sakuang Ismail supaya merendah diri walau pun telah menjadi SU Agung MPP yang termuda dalam sejarah kampus ini. Beliau berkata "Sakuang....... tak mengapa sekiranya kita merendah diri kerana dengan merendah diri, kehormatan dan maruah diri tidak akan terjejas seperti ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya". Lembutnya nasihat tersebut menusuk hati....

Kedua-dua permata ini telah "hilang" menuju Ilahi dan sekiranya aku mengingatkan mereka berdua, boleh mengalirkan air jernih mata ku ini... Seorang adalah pejuang yang sangat merendah diri dan seorang lagi terlalu tinggi kenyakinan diri. Al-Fatihah untuk pejuang ini yang pergi ketika kita masih memerlukan mereka lagi. Moga kerahmatan Ilahi untuk mereka dan kita semua di akhirat nanti.


Gambar: Allahyarham Zakaria Noor Bekas YDP Muar

Ketika ini aku telah bergelanggang dalam perjuangan ini. Aku menjadi hairan, pelik, jelek dan gusar kerana simptom yang sama telah menular dalam kalangan pemimpin tertinggi di semua peringkat parti. KESOMBONGAN, KEAKUAN, GILA KUASA dan MEGAH DIRI telah merebak dalam diri segelintir pemimpin PAS termasuk pemimpin peringkat negeri. Pemimpin pusat, aku tidak pasti. Dari posting yang lepas, kebimbangan yang sama diluahkan oleh Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, tuan guru yang dikasihi.

Yang pelik dan hairannya ialah simptom yang sepatutnya menular setelah negara dan negeri dikuasai dan dimenangi, telah mulai menular ketika ini iaitu ketika PAS atau PR masih belum dapat memerintah negara dan kebanyakan negeri!.

Jelek aku kerana ada yang mendakwa sekiranya PAS memerintah negeri, pasti dia yang akan menjadi menteri tertinggi!. Dia mesti dihormati dan segala titah perintah beliau mesti diikuti. Sebarang penafian atau bangkangan ideanya dianggap sebagai menderhakai serta membenci bakal menteri tertinggi!

Kegusaran aku bertambah kerana karenah segelintir pemimpin sebegini, massa mulai merasa jelek kepada mereka dan PAS itu sendiri!

Ingatlah pesanan Allahyarham Zakaria Noor yang diingati, "Ular yang menyusur akar, tidak akan hilang bisanya". Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. Jangan kerana segelintir pemimpin, rosak perjuangan PAS yang suci ini.

Mohon maaf sekadar ingatan dan saling menasihati.

Pautan kisah ustaz Zakaria Noor http://adham-alharaki.blogspot.com/2009/04/pejuang-dan-murabbi-contoh.html

Monday, February 15, 2010

Jawatan : Antara Rebutan di dunia ...


Assalamu'alaikum wm wb,

Sahabat-sahabat pimpinan jama'ah yang dikasihi,

Kita hendaklah sentiasa memuhasabahkan diri agar kita sentiasa berada di jalan yang benar dan diredhai Allah SWT.

Sebentar tadi(jam 2.30pm) Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man menghubungi saya. Antaranya memohon agar saya memasukkan tulisannya ini dalam blog saya untuk renungan kita semua khususnya pimpinan di peringkat kawasan, negeri, pusat dan dewan-dewan.

Tulisan beliau adalah seperti di bawah; Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-Ghifari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu nabi menyatakan

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan akan dukacita dan menyesal ; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya".

Hadis ini seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar tidak terlalu ghairah untuk mendapatkan jawatan, kerana beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti. Muawiyah bin Abu Sufyan disaat kematiannya menungkapkan kata-kata masyhur ‘Alangkah sedikitnya bekalan, alangkah jauhnya perjalanan dan alangkah beratnya bebanan’.

Rasulullah juga pernah memberi amaran antara lain mafhumnya ‘Jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya’. Alhamdulillah, semangat keimanan tersebut telah tersemat kukuh dalam jamaah kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut.

Tetapi kita juga sedar dengan apa yang diucapkan oleh Presiden, menerima jawatan dalam jamaah adalah perlumbaan untuk membuat kebaikan dan memperjuangkan Islam. Kita rasa seronok bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada jamaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti.

Betapa ramainya golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini sanggup korbankan harta, masa dan tenaga untuk kemenangan Islam, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pilihanraya.

Jamaah kita didokongi oleh ahli yang ikhlas, kepimpinan yang wibawa dan kemantapan jamaah yang hebat. Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat jamaah yang kita ada.
Mereka cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba laga-lagakan antara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak jadi jurucakap bagi pihak musuh. Dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah SAW antara lain Baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri (enggan menerima) maka aku tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar(Nauzubillah. Oleh itu pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harap. Takut Rasulullah SAW murka, dan harap Allah SWT bantu dengan amanah ini.oleh itu menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah ahli bawahan meneliti dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi, meletakkan kepentingan jamaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan jamaah kita.

Namun kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita cadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya. Kita harus sedar, setelah diputus oleh jamaah maka kita mesti wala’ kepada kepimpinan yang dipilih. Perlantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya ‘walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun’.
Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal wala’ akan berpanjangan sehingga muktamar akan datang. Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan kawasan, dewan dan akan terpilih dalam muktamar pusat, ingatlah akan doa saidina Umar alKhattab
“ Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat di akhirat”.
Ingatlah kita sebenarnya belum diuji oleh Allah dengan kemenangan besar yang menanti kita- Semoga Allah tidak menguji kita sebagaimana Allah menguji umat sebelum kita, Wassalam.
Mau'izah untuk ana dan para sahabat;
Tuan Ibrahim Tuan Man,

Dipetik dari halaman http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/05/jawatan-antara-rebutan-di-dunia.html