Wednesday, May 26, 2010

Susahnya nak ikhlaskan diri selepas kecewa.

Salam.

Dalam organisasi tempat bekerja, jawatan tinggi menjadi suatu idaman. Pekerja mengidam nak jadi Penyelia, Penyelia nak pula jadi Pengurus, Pengurus pula mimpikan jawatan Pengurus Kanan dan ianya berterusan sehingga ke jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ada yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan jawatan yang diidamkan seperti melobi, mengampu, menindas orang bawahan dan mencantas pesaing.

Ada pekerja yang bagus tetapi sering tidak mendapat jawatan yang diingini walaupun kelayakan dan pretasi kerjanya sangat baik dan sepantasnya ianya mendapat jawatan tersebut. Mungkin tiada kekosongan jawatan atau selalunya ianya dicantas oleh pesaingnya. Sangat pedih dan sedih pekerja yang mengalami keadaan seperti ini. Aku mengerti sebab aku juga pernah mengalaminya. Selalunya, pekerja berdedikasi begini pasti akan kecewa dan lambat laun akan meninggalkan syarikat tersebut atau kekal di dalam syarikat tetapi bertukar menjadi dedalu yang merosakkan syarikat atau sekadar "melukut di tepi gantang".

Aku kagum dengan beberapa pekerja yang aku kenali yang sangat berdedikasi dan terus mengekalkan prestasi kerja walau pun berpuluh tahun bekerja dengan syarikat yang sama dan tiada kenaikan pangkat yang ketara untuknya. Jelas dia bekerja dengan penuh keikhlasan kerana Allah swt.

Dalam organisasi sukarela dan politik pembangkang, jarang jawatan menjadi rebutan. Ini adalah kerana jawatan merupakan bebanan tanpa imbuhan keduniaan yang nyata. Namun begitu, masih ada yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan jawatan termasuk mengambil risiko menyebabkan organisasi terjejas, malahan digantung.

Adakalanya kita teringin sangat kepada sesuatu jawatan dalam syarikat atau dalam organisasi yang kita terlibat di dalamnya. Kita merasakan kitalah yang paling layak dan berkaliber, namun pemilihan dan nasib tidak berpihak kepada kita. Kita akan merasa kecewa. Selepas itu, kekecewaan itu akan memusnahkan perasaan dan prestasi kita. Sukar untuk mengikhlaskan diri dan kembali ke keadaan asal. Ia memakan masa dan pasti banyak yang terkorban.

Hanya Allah swt, tempat kita mengadu dan dengan keizin dan rahmatNya sahaja, kita mampu kembali ikhlas berkerja dengan kekecewaan dan kerosakkan yang minima.

Jika kita tidak pernah atau tidak akan kecewa terhadap sesuatu keinginan yang tidak kesampaian, pasti kita adalah wali Allah swt atau setaraf dengannya.

والله علم

Sunday, May 9, 2010

Kekayaan dan kekuasaan.


Salam,

Pagi kelmarin aku bersarapan di kedai biasa hampir setiap hari dengan seorang pemandu bas sekolah yang aku panggil Pak Wan. Orangnya kecil, agak pendiam dan biasa saja.

Aku teringin nak jumpa beliau sebab nak menganjurkan siri lawatan ke Perak untuk melawat Kilang Hovic Bhd. dan aku teringin nak mengetahui berapa sewa bas sekolah beliau untuk ke destinasi tersebut. Aku terkejut sebab jawapannya "Pak Wan tak nak sewakan bas ke mana-mana. Bas tu untuk bawa budak-budak sekolah. Kalau tidak, biarlah bas itu berehat".

Aku bertambah terkejut kerana Pak Wan tidak menerima bayaran upah mencuci bas dari rakan kami kerana anaknya tercirit di dalam bas.

Inilah sebenarnya orang yang kaya kerana merasa cukup dengan apa yang ada dan tak teringin untuk memboloti kekayaan dunia ini lagi. Sedangkan kita yang nampak mewah, sebenarnya masih lagi miskin kerana masih lagi terus memburu kekayaan dunia ini semahunya.

Analogi....

Dalam jemaah Islam bernama Parti Islam SeMalaysia (PAS) ini, ramai yang tidak inginkan jawatan suatu ketika dulu dan cuba mengelak sedaya upaya. Ini adalah kerana jawatan dipandang sebagai amanah yang sangat berat untuk dipikul. Persis seperti Pak Wan pemandu bas sekolah yang kaya seperti di atas.

Malang....

Ketika ini, jawatan dalam parti telah menjadi rebutan walau pun PR atau PAS belum lagi memerintah negara. AWAS, jawatan akan menjadi rebutan sengit di semua peringkat apabila PR atau PAS berjaya memerintah kelak.

Ini adalah kerana dulunya pejuang-pejuang Islam hanya memikir untuk mendaulatkan Islam. Kini sudah ada yang memikirkan bahawa jawatan adalah kekuasaan dan kekayaan.  Ceh.......AWAS, bedebah sebegini akan bertambah dalam parti apabila PR telah memerintah kelak!

Ya Allah! Lindungi kami dan lindungi jemaah kami...

Tuesday, May 4, 2010

Usul DPP Selangor - PJ dilantik dalam Muktamar Negeri.

Salam,

Aku teringat satu usul telah dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Selangor di Muktamar DPPP tahun lepas (2009). Usul tersebut berbunyi lebih kurang seperti berikut :

"DPP Selangor mengusulkan supaya Fasal 40 Perlembagaan Parti dikaji semula dengan menyerahkan perlantikan Pesuruhjaya negeri (serta Jawatankuasa Pas Negeri) dijalankan disuatu muktamar peringkat negeri yang diwakili oleh perwakilan setiap kawasan negeri tersebut". 

Antara hujah yang diberikan ialah:
1) Sudah pasti hanya anak negeri yang mengetahui siapakah PJ yang paling layak.
2) PJ yang dilantik oleh perwakilan kawasan mesti menjalankan tugas dan khidmatnya kepada kawasan-kawasan yang melantik beliau. Jika gagal, perwakilan yang sama boleh menurunkan mereka pada muktamar berikutnya.
3) Presiden mungkin khilaf dalam melantik PJ negeri lantaran kerana tokoh tersebut rapat dengan pemimpin-pemimpin peringkat pusat sehingga ke Timbalan Presiden tetapi sangat lemah hubungannya dengan kawasan, cawangan dan akar umbi parti.
4) Proses untuk melobi presiden untuk jawatan PJ sangat mudah berbanding terpaksa bekerja keras untuk mengambil hati akar umbi parti.
5) Proses menjatuhkan PJ juga sangat mudah seperti menggantung banner yang berbunyi "Negeri Sembilan mahu Pesuruhjaya ditukar" di Muktamar Pusat. Peristiwa ini berlaku suatu ketika dahulu.
(Maaf, sebahagiannya hujah aku sendiri)

Lalu keluarlah Ketua Pemuda Melaka dan perwakilan Sarawak (Tidak salah aku), menolak usul ini dengan hujah bahawa kita mesti memberikan thikah dan wala' kepada Presiden dalam melantik Pesuruhjaya Negeri.

Tidak semena-mena keluar pula perwakilan Negeri Sembilan menyokong usul ini dengan bersahaja meminta supaya semua jawatan Ketua Pemuda Negeri termasuk Jawatan Ketua Pemuda Melaka supaya diserahkan perlantikannya kepada Ketua Pemuda Pusat sebagai menunjukkan thikah dan wala' kepada Ketua Pemuda Pusat. Bidasan ini agak selamba tetapi rasanya cukup bermakna.

Pesoalannya, kenapa semua jawatan dipertandingkan dari cawangan, kawasan, dewan-dewan sehingga ke AJK Pusat tetapi jawatan PJ tidak pula dipertandingkan?.

Usul ini diterima di dalam Muktamar Dewan Pemuda ketika itu dengan undian tetapi malangnya usul ini tidak pula dipanjangkan ke Muktamar Agung. Kenapa?

والله علم