Monday, July 29, 2013

PANTUN MOHON AMPUN DI HUJUNG RAMADHAN

 
Rupa warak bicaranya alim,
Menuju neraka tak disedari;
Marah orang berbuat zalim,
Tiada sedar menzalimi diri.

Api neraka berpusing- pusing,
Merah menyala bergulung tinggi;
Roda taubat asyik berpusing,
Moga Allah terus kasihkan diri.

Ahli neraka dipaksa berarak,
Di dunia bermaksiat rasa terkilan;
Moga Ramadhan terus semarak,
Tiada jiwa mati di hujung jalan.

Insya Allah. Wallahua'lam.

Wednesday, July 24, 2013

KEGEMBIRAAN DAN KESEDIHAN ORANG MELAYU.



Orang Melayu bila gembira akan menitiskan air mata. Contoh, anak cemerlang dalam peperiksaan, berapa ramai yang menitiskan airmata?. Berapa ramai yang menitiskan air mata seperti bersedih tetapi sebenarnya bergembira kerana bertemu sanak saudara tersayang yang telah lama berpisah terutamanya di hari raya.

Orang Melayu bergembira dan dalam masa yang sama juga bersedih mengenangkan seseorang atau sesuatu yang tidak sempat bersama menikmati kegembiraan itu. Itu sebab orang Melayu bersedih ketika berhari raya mengenangkan insan tersayang yang sudah tiada.

Orang Melayu bergembira dan kelihatan bersedih hingga menitis air mata ketika memohon ampun daripada ibubapanya, suami/ isterinya terutamanya dipagi syawal dan berlumba-lumba untuk memohon maaf dan menitiskan air mata. Air mata orang Melayu ketika ini adalah air mata kegembiraan kerana berjaya memohon maaf terutama dari orang tersayang.

Tanda orang Melayu bersedih di dalam kegembiraan adalah mampu menguntumkan senyuman ketika air mata sedang mengalir atau selepas disapunya air mata itu.

Kesedihan dan aiir mata orang Melayu yang mengalir kerana gembira tidak sama seperti air mata kesedihan orang Melayu yang sebenar contohnya seperti kesedihan dan air mata mengalir ketika mengetahui kematian insan tersayang.

Benar, orang Melayu bergembira tak sama seperti orang Arab dan Nabi Muhammad saw bergembira di pagi syawal, namun adakah ianya suatu yang bertentangan dengan syarak secara jelas. Adakah ianya satu dosa yang mesti dihindarkan. Jika tidak, biarlah orang Melayu dengan cara dan jati dirinya sendiri.

Mohon jangan mengARABkan orang MELAYU. Biarlah orang Melayu dengan keMelayuannya. Mantapkanlah cara keMelayuannya. Tinggikanlah jati diri keMelayuannya.

MengISLAMkan tidak sama dengan MengARABkan.


Sekadar pendapat. Wallahua'lam.