Wednesday, March 16, 2011

Merong Mahawangsa Moden


Baru sahaja selesai menonton cerita Merong Mahawangsa kali kedua di salah sebuah pawagam di Seremban. Kegemaran saya yang agak sukar ditinggalkan ialah menonton filem bercorak peperangan dan sains fiksyen terutamanya dari barat. Selalunya saya menonton berkali-kali filem yang menarik dan kekadang saya membeli VCD asli untuk dibuat koleksi.

Jarang sekali saya meminati filem Melayu kerana konsepnya memualkan iaitu percintaan dan lawak bodoh yang tidak boleh diterima akal. Kali ini, dalam filem Hikayat Merong Mahawangsa tipikal babak percintaan masih ada tetapi ditahap minima dan babak peperangan dengan bantuan teknologi agak membanggakan. Namun sekali tonton, saya sudah merasa agak puas kerana jalan ceritanya mudah untuk dicerna fikiran.

Babak puteri cina sedang mandi dalam tab di dalam kapal itu agak keterlaluan dan tidak senonoh. Kalau mandi berkemban sudah agak keterlaluan dan apatah lagi jika tanpa seurat benang dan hanya ditutupi oleh bebunga di permukaan air tab sahaja. Walau pun begitu, tahniah dan syabas saya ucapkan kepada KRU terutamanya Yusry kerana karyanya iaitu sebuah filem Melayu boleh diangkat menjadi filem bertaraf antarabangsa.. 

Cerita filem ini berkisar tentang diri Merong Mahawangsa tetapi yang menarik perhatian saya ialah masyarakat kuno sebelum Langkasuka (sekarang Kedah), berpecah belah dan sering diganggu oleh lanun bergelar Garuda yang juga berasal dari tempat dan bangsa yang sama. Berparut badan seluruh penduduk akibat sering diserang Lanun Garuda. Namun hati mereka juga lebih dashyat berparut kerana pelbagai penderitaan lain akibat angkara Lanun Garuda itu. Ada yang dirogol, dibunuh keluarganya dan pendek kata memang bermaharaja lela si lanun bedebah bergelar Garuda itu.

Yang menariknya bagi saya ialah kesengsaraan mereka berakhir apabila seorang pengembara yang berketurunan "Alexander The Great" dan ibunya berasal dari tempat dan bangsa yang sama dengan masyarakat kuno Langkasuka. Merong telah berjaya menyatukan masyarakat setempat dan diangkat menjadi seorang Raja di negara baru bergelar Langkasuka. Seterusnya beliau, pengikutnya, anak raja Rom dan beberapa orang askar cina menyerang Lanun Garuda untuk membebaskan puteri cina dan menebus maruah dan kebebasan mereka sendiri yang telah lama dirampas oleh Lanun Garuda tersebut.

Semasa Merong hendak menyerang Lanun Garuda yang berlipat kali jumlahnya, Merong memberi kata-kata semangat kepada rakyatnya antaranya:

Mungkin tiada yang kembali
Atau mungkin... semua sekali akan rebah ke bumi
Demi maruah dan kesejahteraan negara kita
Marilah.. bersama kita tebas petualang bangsa...

Rakyat Malaysia di zaman moden ini juga sengsara kerana dizalimi oleh lanun bergelar UMNO dan BN. Lanun dari tempat dan bangsa yang sama. Habis dirompaknya harta kekayaan bumi ini dan diboloti oleh diri sendiri dan kroni. 

Sengsara dan derita juga rakyat Malaysia kini....
1) Pemuda terpelajar dibelengu dengan hutang pinjaman yang mesti dilunasi. Biasiswa sebagai salah satu hak kepunyaan bumiputera sudah lama dilupusi.
2) Muda mudi terpaksa melupakan hasrat hati untuk menikah kerana belanja kahwin yang melambung tinggi, 
3) Buruh, petani dan nelayan terpaksa mengikat perut untuk membayar yuran anak di sekolah kerajaan dan IPT.
4) Pekerja  terpaksa bekerja siang hingga dinihari untuk memastikan kerja selesai seperti dikehendaki. Jika tidak, khuatir dibuang kerja nanti dan kerja baru sukar pula dicari.
5) Usahawan pula bekerja keras hingga melupakan anak isteri hanya untuk keuntungan yang sedikit bagi sara hidup diri.
6) Diperkosa anak gadis sunti oleh pembesar negeri.
7) Rakyat dibunuh dan terbunuh di pejabat BPR dan balai polis sendiri.
8) Pemandu kereta susah hati kerana kancil pun habis hampir RM50 sekali tangki minyak diisi.
9) Rakyat kecewa dan sengsara membunuh diri setiap hari.
10) Penyakit mental menjadi-jadi sehingga ada yang penggal dan bawa kepala ayah ke Selangor baru-baru ini.
10) Rakyat kais pagi makan pagi, isteri perdana menteri melancong dan berpoya-poya di luar negeri.
11) Konon ada pilihanraya tanda demokrasi tapi UMNO dan BN dengan bantuan SPR dan JPN memindahkan pengundi-pengundi sesuka hati.
12) Demi untuk kerajaan tetap dikuasai, habis pendatang sewenangnya diberi kad pengenalan untuk jadi warga negeri.
13) Rasuah amalan yang semakin parah dan tinggi dalam hampir semua bidang dan semua ajensi.
14) Kerajaan merompak lagi dengan menyenaraihitamkan pemandu yang enggan membayar kompaun saman walau pun tidak terbukti bersalah lagi.
15) Cukai tanah, cukai pintu, bayaran tol, harga barangan, air dan api sentiasa naik dan tetap akan naik sehingga rakyat menjadi lali.....

Bila masanya kesengsaraan dan penderitaan rakyat Malaysia kini termasuk Langkasuka (Kedah) akan berakhir?. Bila masanya Merong Mahawangsa moden akan memunculkan diri atau bilakah Allah swt akan memunculkan Imam Mahdi yang akan meratakan keadilan dan kemakmuran di muka bumi Malaysia ini?. Rakyat sudah tidak tertahan sengsara fizikal apatah lagi menderita perit dan pedih di hati............

Ayuh pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat.....
Mungkin tiada yang kembali
Atau mungkin... semua sekali akan rebah ke bumi
Demi maruah dan kesejahteraan negara kita
Marilah.. bersama kita tebas UMNO dan BN petualang bangsa...

Friday, February 18, 2011

NAIKKAN DAN TURUNKAN PEMIMPIN

Pengikut, penyokong atau anggota parti politik adalah amat diperlukan. Tanpa mereka matlamat parti tidak dapat dijayakan. Umumnya matlamat parti mahukan kebaikan untuk negara. Pemimpin parti sudah barang tentu adalah yang terbaik dikalangan anggota sesuatu parti. Pemimpin dinaikan dan boleh diturunkan oleh anggota parti melalui sistem pemilihan yang ditentukan parti.

Parti atau negara hanya akan selamat jika anggota parti adalah seorang yang peka kepada pemimpinnya. Mereka mesti memantau tingkah laku pemimpinnya. Apakah pemimpin mereka bersih dari rasuah, salah etika, kronisme, nepotism dan kolusi. Disamping anggota bersikap setia dan sedia berkorban untuk pemimpinnya yang memimpin parti, namun setiap anggota juga perlu peka dan kritikal kepada gaya hidup dan pelakuan politiknya yang terpesong dari matlamat parti.

MALANG sekali jika anggota parti pandai menaikkan pemimpinnya tetapi TIDAK TAHU menurunkan pemimpinnya yang korup dan hilang kelayakkan sebagai pemimpin, tak kiralah BN atau PR pun!!!!

Pimpinan PAS NS rakus dan berjiwa kecil.

Bila Rasulullah saw berdakwah di Taif, baginda saw dicemuh, dihalau dan dicederakan sehingga berlumuran darah kasut baginda saw. Baginda lalu berdoa dan merintih dan menyerahkan persoalan ini kepada Allah swt. Lalu datang Jibrail a.s. meminta izin supaya malaikat penjaga bukit menghempapkan bukit ke atas penduduk Thaif yang kafir dan keterlaluan itu, lalu dengan berjiwa besar Nabi Muhammad saw melarang dengan berkata:


Jauh sekali Rasulullah saw berbanding kita dan pimpinan PAS Negeri Sembilan ini. Pimpinan Negeri Sembilan ini tidak boleh dikritik terutama di dalam blog. Habis dipecatnya sesiapa yang tidak disukainya (Opss... bahasa mulianya ialah diberhentikan, atau rombakan AJK). Ada yang ditukar ke jawatan yang lebih rendah dan portfolio yang bukan kepakarannya. Lantas mungkin ahli ini akan letak jawatan dan selepas itu, mungkin jawatan itu semuanya lebih sesuai dipegang oleh juak-juak "recycle" atau muka yang sama dari ahli dewan sendiri agar beliau mudah mendapat maklumat dan mengawal semuanya!. Ahli mesti ingat!, ini semua bukan keputusan beliau seorang tetapi keputusan dewan (tetapi semua ahli dewan adalah orang yang akur dan jarang membantah beliau).

Bagi yang tiada jawatan, jangan menulis blog dan jangan sesekali menyebarkan fitnah. Dosa menfitnah lagi besar dari membunuh terutama menfitnah pemimpin sendiri. Menulis rasa tidak puas hati ahli marhean adalah fitnah jika tidak merujuk kepada beliau sendiri atau dewan yang dikuasai oleh juak-juak beliau! Ingat! orang yang beriman mesti memastikan kesahihan berita atau khabar angin hanya kepada beliau atau dewan yang dikuasainya. Selain dari sumber itu, pasti bohong dan fitnah!

Kalau terusan menfitnah beliau, beliau akan menyerahkan urusan ini kepada Allah swt dan berdoa semoga bala menimpa ahli PAS yang menfitnah beliau.

Nabi Muhammad saw menolak bala yang pasti di depan mata iaitu ketika ditawarkan terus oleh Jibrail a.s. untuk menghapuskan penduduk Thaif yang kafir tetapi pemimpin Negeri Sembilan ini menuntut bala diturunkan kepada ahlinya sendiri yang pernah bertungkus lumus membantu beliau dalam banyak perkara terutama dalam pilihanraya.

Mana nak letak akal fikiran ahli PAS semuanya. Bodoh belaka ke ahli PAS di Negeri Sembilan ni?. dengan mudah digula-gula dengan alasan yang mengjengkelkan dan ugutan kebudak-budakan!.

Abu Mariam al Azadi R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda :

“ Siapa yang memikul apa-apa jawatan atau tugas menguruskan orag Islam namun dia gagal memenuhi tanggungjawab dan dia mengelak daripada menyelesaikan keperluan mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaan umat Islam nescaya Allah akan mengelak (menjauhkan diri) daripadanya pada hari kiamat kelak daripada menyelesaikan keperluannya yang mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaannya pada hari tersebut.”

Hadith Sahih riwayat Abu Daud dan dianggap berstatus sahih oleh al Albani.

Wallahu'alam. Mohon ampun maaf.

Sunday, February 6, 2011

Antara demokrasi dan revolusi..... mana pilihan Barisan Nasional dewasa ini?.

 
Gambar hiasan: Rusuhan besar-besaran di Mesir.

Kita sudah lebih setengah abad dengan demokrasi dan pilihanraya. 
Semakin kuat kita bekerja semakin galak BN menggunakan segala jentera termasuk polis dan tentera. 
Semakin ramai penyokong kita, SPR semakin bermaharajalela memindahkan mereka di mana BN suka.
Semakin lantang kita bersuara, semakin galak BN menggunakan media untuk propaganda.
Semakin gigih kita memberi khidmat sukarela, semakin BN banyak memberi rasuah sebagai senjata.
Semakin difikir dengan akal yang rasional dengan saksama, pasti selama-lamanya Pakatan Rakyat kecundang juga. 

Sejarah membuktikan pemimpin diktator dan kuku besi negara dunia ketiga cuma akan jatuh dengan 'Jalanraya' bukan dengan 'Pilihanraya - FB Ustaz Nor Azman, seorang Ulama' muda.

Revolusi atau Jalanraya, pasti akan terkorban jiwa dan harta. Mungkin hanya sedikit dan mungkin akan merata. Sudahkah kita bersedia? 

Jangan terlalu pesimis dan ana sangat optimis. Andai rakyat sudah puas menangis atau tidak tahan atau redho  dengan pemerintah zalim bak zionis, pasti mereka akan bersama kita menumbangkan pemerintah dengan pelbagai kaedah yang akan dirintis termasuk berdemontrasi di hadapan 'water canon' dan ratusan anggota polis. Kita tetap memilih pilihanraya tetapi jangan lupakan jalanraya. Kita akan menggunakan demokrasi, tetapi jika disekat demokrasi kita akan gerakkan revolusi. Andai nyawa diperlu sebagai korban, rela nyawa ana menjadi perintis. - kata-kata semangat dari Dr Badrul, Sabtu 5 Feb 2011 di TTJ.

Antara demokrasi dan revolusi dan antara pilihanraya dan jalanraya, yang mana pilihan Barisan Nasional dalam waktu terdekat ini?.

Friday, February 4, 2011

Banjir - BN salah guna jentera kerajaan dan korup.


Dialog dengan omak, omak sedagho - Induk di kampung, Nyaleh, Melako.

Omak: Ekau tengok hah Induk kau ni hah, banjir sikit yo ghumah heh, habies diboghinyo duit 200, gulo, bogheh dan macam-macam laei hah...
Induk: Itulah "Kapa Laya" yg kasi. Harapkan PAS, apo yg dapek?
Aku: Mano ado "Kapa Laya" laei Duk...
Induk: Yolah... dulu "Kapa Laya" sekarang ni Dacing!.
Aku: Yolah tu Duk, kasilah monang PAS sekali hah..., lobeih dari tu kito boleh kasi.
Induk: Mano ado... semuo aek pombohong... ponipu.
Aku: Cubo sekali hah... kalau tak cubo mano la tahu hah...
Induk: Den tak pechayo do... dulu "Kapa Laya" selamo-lamonyo "Kapa Laya".
Omak: Imam masjid pun dapek bantuan banjir hah... duit, bogheh dan macam-macam.
Aku: Semuo ko dapek 200?
Induk: Ado yg dapek lobih, ado yg dapek 6 kali. Sekali 200, 6 kali dapek 1200!
Aku: Apo lak Induk dapek sekali yo, oghang lain dapek 6 kali. Tak adil tu!.
Induk: Ontahlah. Joki den banyak tu yo.

Susah-susah orang kampungan,
Sekali banjir dapat sedikit bantu-bantuan,
Malang sungguh orang Melayu kita-kitaan,
Tak tahu bezo antara parti politik dan kerajaan.


Apa celako orang kito di pendalaman,
Rumah banjir dapek sikit habu-habuan,
Kapal Layar dah pupus masih dipertahankan,
Terhutang budi samo Kapa Laya habis-habisan.

Dapek bogheh bantuan banjir sekali-sekali,
Tak sodar minyak dan barangan naik dah acap kali,
Montang-montang gogo segerap melambung tinggi,
Sekarang musim hujan mengholoh sendiri.

BN sangat korup satu duninyo dah tahu,
Kito lawan dikatokan kito penipu,
Ubah sekarang domi anak cucu,
Selamat Malaysia dari BN, penyamun tak tahu malu. 

Tuesday, February 1, 2011

Posting ditarik balik... Ubah perangai gobrok.

Salam...

Posting saya mengenai Seremban dan BPP Negeri Sembilan dinasihatkan ditarik balik oleh salah seorang pemimpin negeri kerana dalam Mesyuarat Perhubungan PAS Negeri Sembilan yang lalu, ramai yang khuatir ianya akan disalahgunakan musuh. Saya tetap dengan pendirian bahawa saya tidak akan menarik posting tersebut jika hanya itulah alasannya. Musuh akan tetap akan mengambil kesempatan atas kelemahan PAS Negeri Sembilan dengan pelbagai kaedah dan cara sekiranya kelemahan yang ketara tidak diperbetulkan segera .

Yang penting bukan posting saya tapi perangai pemimpin PAS Negeri Sembilan yang gobrok perlu berubah atau diubah oleh ahlinya!.

Beliau memberitahu BPP Negeri Sembilan telah mengambil perhatian tentang penulisan saya dan akan cuba untuk mengubah keadaaan. Saya beri tempoh dua bulan untuk pemimpin Negeri Sembilan untuk berubah. Awal April sekiranya masih lagi berlaku kebobrokan yang sama atau seumpamanya, saya akan menerbitkan semula posting saya dan memfokuskan tulisan saya kepada isu yang sama.

Kita sering menegur ulama' UMNO kerana mendiamkan diri dengan kemungkaran yang dilakukan oleh UMNO dan BN dan sering melabelkan mereka sebagai "Syaitan Bisu". Adakah kita juga ingin menjadi seperti mereka dengan mendiamkan diri dengan segala kelemahan, kebobrokan dan kemungkaran yang berlaku dalam PAS?.

Nabi Saw bersabda:

"Orang yang berdiam diri dari kebenaran (tidak mahu mengingatkan atau berusaha membuat perubahan), adalah seperti syaitan yang bisu.” [HR. Al Hakim]

Sekian. Semoga Allah swt bersama saya dan orang yang menyokong penulisan saya samada secara nyata atau dalam senyap.

"Yang penting bukan penulisan saya, saya penting pemimpin PAS Negeri Sembilan mengubah kebobrokan perangai mereka"....