Wednesday, May 26, 2010

Susahnya nak ikhlaskan diri selepas kecewa.

Salam.

Dalam organisasi tempat bekerja, jawatan tinggi menjadi suatu idaman. Pekerja mengidam nak jadi Penyelia, Penyelia nak pula jadi Pengurus, Pengurus pula mimpikan jawatan Pengurus Kanan dan ianya berterusan sehingga ke jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ada yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan jawatan yang diidamkan seperti melobi, mengampu, menindas orang bawahan dan mencantas pesaing.

Ada pekerja yang bagus tetapi sering tidak mendapat jawatan yang diingini walaupun kelayakan dan pretasi kerjanya sangat baik dan sepantasnya ianya mendapat jawatan tersebut. Mungkin tiada kekosongan jawatan atau selalunya ianya dicantas oleh pesaingnya. Sangat pedih dan sedih pekerja yang mengalami keadaan seperti ini. Aku mengerti sebab aku juga pernah mengalaminya. Selalunya, pekerja berdedikasi begini pasti akan kecewa dan lambat laun akan meninggalkan syarikat tersebut atau kekal di dalam syarikat tetapi bertukar menjadi dedalu yang merosakkan syarikat atau sekadar "melukut di tepi gantang".

Aku kagum dengan beberapa pekerja yang aku kenali yang sangat berdedikasi dan terus mengekalkan prestasi kerja walau pun berpuluh tahun bekerja dengan syarikat yang sama dan tiada kenaikan pangkat yang ketara untuknya. Jelas dia bekerja dengan penuh keikhlasan kerana Allah swt.

Dalam organisasi sukarela dan politik pembangkang, jarang jawatan menjadi rebutan. Ini adalah kerana jawatan merupakan bebanan tanpa imbuhan keduniaan yang nyata. Namun begitu, masih ada yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan jawatan termasuk mengambil risiko menyebabkan organisasi terjejas, malahan digantung.

Adakalanya kita teringin sangat kepada sesuatu jawatan dalam syarikat atau dalam organisasi yang kita terlibat di dalamnya. Kita merasakan kitalah yang paling layak dan berkaliber, namun pemilihan dan nasib tidak berpihak kepada kita. Kita akan merasa kecewa. Selepas itu, kekecewaan itu akan memusnahkan perasaan dan prestasi kita. Sukar untuk mengikhlaskan diri dan kembali ke keadaan asal. Ia memakan masa dan pasti banyak yang terkorban.

Hanya Allah swt, tempat kita mengadu dan dengan keizin dan rahmatNya sahaja, kita mampu kembali ikhlas berkerja dengan kekecewaan dan kerosakkan yang minima.

Jika kita tidak pernah atau tidak akan kecewa terhadap sesuatu keinginan yang tidak kesampaian, pasti kita adalah wali Allah swt atau setaraf dengannya.

والله علم

Sunday, May 9, 2010

Kekayaan dan kekuasaan.


Salam,

Pagi kelmarin aku bersarapan di kedai biasa hampir setiap hari dengan seorang pemandu bas sekolah yang aku panggil Pak Wan. Orangnya kecil, agak pendiam dan biasa saja.

Aku teringin nak jumpa beliau sebab nak menganjurkan siri lawatan ke Perak untuk melawat Kilang Hovic Bhd. dan aku teringin nak mengetahui berapa sewa bas sekolah beliau untuk ke destinasi tersebut. Aku terkejut sebab jawapannya "Pak Wan tak nak sewakan bas ke mana-mana. Bas tu untuk bawa budak-budak sekolah. Kalau tidak, biarlah bas itu berehat".

Aku bertambah terkejut kerana Pak Wan tidak menerima bayaran upah mencuci bas dari rakan kami kerana anaknya tercirit di dalam bas.

Inilah sebenarnya orang yang kaya kerana merasa cukup dengan apa yang ada dan tak teringin untuk memboloti kekayaan dunia ini lagi. Sedangkan kita yang nampak mewah, sebenarnya masih lagi miskin kerana masih lagi terus memburu kekayaan dunia ini semahunya.

Analogi....

Dalam jemaah Islam bernama Parti Islam SeMalaysia (PAS) ini, ramai yang tidak inginkan jawatan suatu ketika dulu dan cuba mengelak sedaya upaya. Ini adalah kerana jawatan dipandang sebagai amanah yang sangat berat untuk dipikul. Persis seperti Pak Wan pemandu bas sekolah yang kaya seperti di atas.

Malang....

Ketika ini, jawatan dalam parti telah menjadi rebutan walau pun PR atau PAS belum lagi memerintah negara. AWAS, jawatan akan menjadi rebutan sengit di semua peringkat apabila PR atau PAS berjaya memerintah kelak.

Ini adalah kerana dulunya pejuang-pejuang Islam hanya memikir untuk mendaulatkan Islam. Kini sudah ada yang memikirkan bahawa jawatan adalah kekuasaan dan kekayaan.  Ceh.......AWAS, bedebah sebegini akan bertambah dalam parti apabila PR telah memerintah kelak!

Ya Allah! Lindungi kami dan lindungi jemaah kami...

Tuesday, May 4, 2010

Usul DPP Selangor - PJ dilantik dalam Muktamar Negeri.

Salam,

Aku teringat satu usul telah dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Selangor di Muktamar DPPP tahun lepas (2009). Usul tersebut berbunyi lebih kurang seperti berikut :

"DPP Selangor mengusulkan supaya Fasal 40 Perlembagaan Parti dikaji semula dengan menyerahkan perlantikan Pesuruhjaya negeri (serta Jawatankuasa Pas Negeri) dijalankan disuatu muktamar peringkat negeri yang diwakili oleh perwakilan setiap kawasan negeri tersebut". 

Antara hujah yang diberikan ialah:
1) Sudah pasti hanya anak negeri yang mengetahui siapakah PJ yang paling layak.
2) PJ yang dilantik oleh perwakilan kawasan mesti menjalankan tugas dan khidmatnya kepada kawasan-kawasan yang melantik beliau. Jika gagal, perwakilan yang sama boleh menurunkan mereka pada muktamar berikutnya.
3) Presiden mungkin khilaf dalam melantik PJ negeri lantaran kerana tokoh tersebut rapat dengan pemimpin-pemimpin peringkat pusat sehingga ke Timbalan Presiden tetapi sangat lemah hubungannya dengan kawasan, cawangan dan akar umbi parti.
4) Proses untuk melobi presiden untuk jawatan PJ sangat mudah berbanding terpaksa bekerja keras untuk mengambil hati akar umbi parti.
5) Proses menjatuhkan PJ juga sangat mudah seperti menggantung banner yang berbunyi "Negeri Sembilan mahu Pesuruhjaya ditukar" di Muktamar Pusat. Peristiwa ini berlaku suatu ketika dahulu.
(Maaf, sebahagiannya hujah aku sendiri)

Lalu keluarlah Ketua Pemuda Melaka dan perwakilan Sarawak (Tidak salah aku), menolak usul ini dengan hujah bahawa kita mesti memberikan thikah dan wala' kepada Presiden dalam melantik Pesuruhjaya Negeri.

Tidak semena-mena keluar pula perwakilan Negeri Sembilan menyokong usul ini dengan bersahaja meminta supaya semua jawatan Ketua Pemuda Negeri termasuk Jawatan Ketua Pemuda Melaka supaya diserahkan perlantikannya kepada Ketua Pemuda Pusat sebagai menunjukkan thikah dan wala' kepada Ketua Pemuda Pusat. Bidasan ini agak selamba tetapi rasanya cukup bermakna.

Pesoalannya, kenapa semua jawatan dipertandingkan dari cawangan, kawasan, dewan-dewan sehingga ke AJK Pusat tetapi jawatan PJ tidak pula dipertandingkan?.

Usul ini diterima di dalam Muktamar Dewan Pemuda ketika itu dengan undian tetapi malangnya usul ini tidak pula dipanjangkan ke Muktamar Agung. Kenapa?

والله علم

Thursday, April 15, 2010

Pernikahan Tan Sri Isa Samad dengan Bibi Sharliza - Ancaman kepada PR NS.


Salam,

Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Isa Samad dengan Bibi Sharliza Mohd Khalid semalam. Tidak baik hidup membujang, dengan berkahwin terselamat sebahagian iman, itupun jika benar-benar beriman. Boleh ikuti kisah mereka di sini.

Namun begitu, saya melihat ini merupakan satu ancaman kepada Pakatan Rakyat Negeri Sembilan terutama kepada PAS. Ini adalah kerana pernikahan ini merupakan satu gabungan yang boleh mengancam iaitu gabungan antara bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang mungkin membuat "comeback" dengan Ketua Penerangan Puteri Umno Malaysia, gabungan antara orang kaya dengan jentera puteri, gabungan antara orang pengalaman (Baca tua) dengan muda dan gabungan antara pakar politik wang (Baca perasuah) dengan keayunan isteri yang boleh meraih simpati.

Pasangan suami isteri UMNO ini telah berhasrat bergabung tenaga untuk berkempen (Baca berbulan madu) di Hulu Selangor dan gabungan ini juga pastinya akan menggunakan segala kelebihan yang ada untuk memenangkan UMNO dan BN di Negeri Sembilan dalam PRU ke 13 nanti.

PAS mesti menguatkan jentera di semua peringkat dengan sesegera mungkin. Seremban mesti dipulihkan segera, walau dengan apa sekali kaedah yang terbaik. Kekuatan jentera PAS mesti digemblingkan sebaik mungkin. Eratkan ukhwah dan persefahaman antara Badan Perhubungan dengan Dewan Ulama' dan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan. Sebarang perselisihan hendaklah diketepikan demi untuk mendapatkan kekuatan kerja secara berjemaah.

Adakah ini suatu mimpi atau mungkin akan menjadi realiti?. Semuanya bergantung kepada Rahmat Ilahi dan pemimpin-pemimpin yang merendah diri dan bertoleransi. Jika ini tidak dapat diusahakan lagi, maka pemimpin yang berkepentingan peribadi mesti disingkiri atau bersama-sama kita berdoa semoga Allah SWT mendatangkan keputusanNya sendiri.

Kekuatan jentera PAS mesti diperkuatkan dan seterusnya kekuatan gabungan antara parti-parti dalam Pakatan rakyat juga mesti diusahakan sesegera mungkin.

Segera bertindak lantaran kerana PRU 13 semakin menghampiri.

Ya Allah SWT, dengan berkat Nabi dan kekasih Mu, Muhammad bin Abdullah SAW, bantulah kami dalam usaha menegakkan Islam di bumi Negeri Sembilan ini.

Amin.

Sunday, April 11, 2010

Adakah angin perubahan sudah mulai bertiup di Negeri Sembilan?.

Salam penuh pengharapan...

Aku dan ramai sahabat-sahabat terutamanya dari Kawasan Seremban merasa gembira apabila mendengar khabar bahawa PAS Kawasan Seremban sedang dalam usaha dipulihkan kembali.

Secara peribadi, aku telah menghantar beberapa SMS kepada pemimpin-pemimpin PAS Kawasan Seremban yang berbunyi seperti berikut:

Gembira dalam hati. Seremban dan nak kembali. Hendaklah tulus dan merendah diri. Berpakat dan jangan menyusahi. Banyak masalah dapat diatasi. Tahniah dan moga diahmati. Husaini

Aku mendapat dua balasan SMS seperti berikut:

Salam. Terima kasih atas kata dan nasihat saudara. Semoga hasrat dan usaha kita untuk memajukan PAS Seremban dan Negeri Sembilan sentiasa ikhlas dan diterima Allah.

dan SMS kedua seperti berikut:

Salam, o.k. Tq

Untuk memastikan Seremban kembali pulih, semasa mesyuarat agung cawangan aku, satu usul telah diutarakan yang berbunyi "Pas cawangan mendesak BPPNS untuk mengambil segala langkah yang perlu untuk memulihkan PAS Kawasan Seremban pada tahun ini termasuk menyingkirkan pemimpin-pemimpin yang bermasalah". Usul ini ditarik baik selepas YDP kawasan memaklumkan langkah-langkah wajar telah diambil untuk tujuan tersebut. Usul ini akan diteruskan pada tahun hadapan sekiranya PAS Kawasan Seremban masih gagal dipulihkan pada tahun ini. Apa yang dikhuatirkan, jika PAS Seremban tidak dipulihkan segera, PAS Negeri Sembilan dalam kesukaran dalam PRU 13 nanti.

Aku merasa masih ada harapan dan sinar baru. Mungkin angin perubahan sudah mula bertiup. Mungkin panji-panji kemenangan PAS di Negeri Sembilan sudah mulai berkibar.

Marilah kita semua berdoa dan aku telah mulai mengendurkan kritikan terhadap BPPNS.

Saturday, April 3, 2010

PEMBETULAN TAKLIMAT PRA MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN SEREMBAN

ADALAH DIMAKLUMKAN TAKLIMAT PRA MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN SEPERTI BERIKUT

Tarikh : 18hb April 2010
Masa : 8.30 Malam
Tempat : Gedung Lalang
Taklimat oleh : Ybhg. Dato' Mustafa Ali
( Setiausaha Agung PAS)
Kehadiran : Semua Ketua Cawangan dan Setiausaha Cawangan atau wakil.
Dipetik dari http://czackpy.blogspot.com/

Thursday, April 1, 2010

Ya Allah... bantulah Seremban.

Gembira rasa dalam hati bila Seremban nak bangun semula selepas sekian lama mati. Aku tak kira sama ada betul atau tidak tentang berita ini, namun harapan tetap berbunga dalam sanubari. Semoga Allah SWT membantu usaha murni ini dan menjahanamkan sesiapa yang cuba menghalangi.

Bangunlah Seremban.....

MUTIARA PAS N. SEMBILAN MULA DIGILAP

Alhamdulillah berkat kesabaran kita dengan lorongan yang dibuka oleh Allah akhir sinar cahaya mula timbul memancar kepada semua pejuang PAS di Seremban

Dengan jiwa yang besar pimpinan PAS Seremban dengan bantuan serta cadangan PAS pusat telah memutuskan satu Jawatankuasa Pemandu bagi melaksanakan tanggungjawab mengurus Mesyuarat Agung PAS Kawasan Seremban.

Jawatankuasa Pemandu yang dipersetujui dan dilantik ialah

1) YDP : Ybhg Tuan Hj M.K Ibrahim
2) Tim. : Ybhg CikGu Hasan Taha
3) Naib : Ybhg Tuan Haji Ghazali Mad Som
4) S/usaha : Ybhg Tuan Haji Rahim
5) Ketua Penerangan : Zakaria bin Sheikh Othman
6) AJK : Ybhg Zulkifly Haji Omar

Jawatankuasa Pemandu yang dilantik ini diamanahkan untuk merancang dan menguruskan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Seremban.

Alhamdulillah Mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu pada 29HB Mac 2010 telah bersetuju sebulat suara berkaitan prosedur yang diarahkan oleh PAS Pusat dan memutuskan bahawa satu perjumpaan taklimat pra-mesyuarat Agung bagi memaklumkan segala prosedur kepada semua cawangan seperti berikut:

Tarikh : 18hb April 2010
Masa : 3.00 Petang
Tempat : Dewan SARA Gedung Lalang
Taklimat oleh : Ybhg. Dato' Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS)
Kehadiran : Semua Ketua Cawangan dan Setiausaha Cawangan atau wakil.

Oleh itu diharapkan semua 35 cawangan yang terbabit dapat hubungi Jawatankuasa Pemandu bagi dapat maklumat lanjut.

Jom ahli PAS Seremban kita kembali bangkit sebagai permata PAS di Negeri Sembilan.


Dipetik dari http://czackpy.blogspot.com/