Thursday, December 30, 2010

DPPNS = Dewan Pemudi PAS Negeri Sembilan

DPPNS bagi saya singkatan kepada Dewan Pemudi PAS Negeri Sembilan kerana majoritinya pemalu dan penakut macam perempuan atas pelbagai sebab dan alasan yang tidak patut ada pada diri seorang lelaki bergelar pejuang Islam. Antara contohnya:

1) Ramai yang handal bercakap tapi setakat berani dalam mesyuarat dan paling tinggi dalam surau. Pentas ceramah politik hanya untuk orang lain!.
2) Ramai yang tak mahu zahirkan dirinya sebagai AJK DPPNS takut terlucut jawatan dan takut perniagaan gulung tikar. Ironisnya, ada yang menyorok-nyorok ketika mengedar risalah PAS!
3) Takut nak keluarkan kenyataan akhbar nanti terjejas dan ter"kubur" PAS satu Malaya.
4) Sedih tengok demontrasi yang PAS buat terutamanya di Negeri Sembilan ni. AJK DPPNS ini ramai tapi tak nampak wajah. Hanya seorang atau dua yang ada hidung. Mungkin yang lain berada di barisan belakang bersama-sama muslimat sedang memakai purdah!.
5) Mengharapkan pemuda berdepan dengan samseng UMNO dan melindungi ahli-ahli PAS terutamanya muslimat tetapi pemuda sembunyi diri dalam markas bila diserang oleh samseng UMNO dan tak mampu berdepan dengan mereka. Mana perginya jihad ulama-ulama muda yang ada ijazah tasawur Islam. Alahai....

AJK Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan  WAJIB ke depan, membarisi benteng paling awal dalam semua situasi terutamanya yang kritikal sambil "Memukul gendang" dan bersedia dengan segala kepakaran dan bunga persilatan dengan gaya yang nampak gagah serta berani, barulah ahli-ahli PAS yang lain turut sama bersemangat untuk berjuang.

Alasan muak yang serik terdengar "Kita kena faham dan jaga kepentingan sahabat sheikh". Kalau begitu siapa pula nak jaga kepentingan Islam dan Parti. AJK DPPNS kebanyakkannya bergelar ulama muda dan sepatut sudah ditarbiyah dengan pengorbanan dan jihad tapi kebanyakkan masih lagi berstatus "pemudi".

DPPNS perlu berubah atau singkatannya Dewan Pemudi PAS Negeri Sembilan akan kekal selamanya...

Sunday, December 26, 2010

PAS Rembau punyai ramai tokoh berwibawa.

Salam,

PAS Kawasan Rembau mempunyai ramai tokoh yang boleh diketengahkan terutamanya sebagai calon PRU13 untuk berkhidmat kepada masyarakat Rembau.

Saya senaraikan bebarapa tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia politik dan korporat iaitu:


Di samping itu PAS Kawasan Rembau juga mempunyai tokoh-tokoh baru dan muda yang mampu membawa masyarakat Rembau ke arah yang lebih progresif iaitu:


Ini bukan kesemuanya tokoh-tokoh PAS Kawasan Rembau yang mempunyai potensi untuk PRU13 tetapi masih ada tokoh-tokoh yang tidak mahu dan tidak boleh ditonjolkan ketika ini disebabkan pelbagai faktor.

Saya selaku Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Rembau bagi pihak semua AJK Pemuda PAS Kawasan Rembau mengumumkan bahawa kami telah bersedia untuk menghadapi PRU13 di semua DUN-DUN Kawasan Rembau dan Parlimen Rembau. Semoga persediaan awal ini, dianugerahkan oleh Allah swt dengan kemenangan cemerlang di semua DUN dan Parlimen Rembau. Seterusnya PR berjaya menawan Negeri Sembilan. Insya Allah.

Saturday, December 25, 2010

Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan perlu berubah.

Salam,

Alhamdulillah.... Seremban dah berubah dan pulih. Dewan Pemuda Negeri Sembilan pula perlu berubah dan perlu SEGERA menampakkan perubahan tersebut untuk menjana kejayaan PRU13. Insya Allah.

DPPNS punyai ramai AJK-AJK yang terpelajar. Yang saya tahu hanya seorang sahaja yang tidak menjejaki kaki ke universiti. Intelek ada & jurutera pun ada, pensyarah universiti ada dan cikgu @ ustaz sekolah pun ada juga, pengurus ada, usahawan berjaya pun ada juga, imam surau ada, dan bekas imam masjid pun ada juga bekas SU Kerja Dewan Ulama' Pusat ada, dan pakar dan bekas penterjemah Bahasa Arab Astro pun ada juga. Pendek kata semua golongan elit ada dalam AJK DPP PAS Negeri Sembilan. Masalahnya kenapa DPP Pas Negeri Sembilan ini seolah-olah tidak wujud sama sekali terutamanya di mata rakyat merata?.

Tunggu artikel seterusnya... Insya Allah.

Friday, December 24, 2010

PAS Seremban pulih - Tawan Negeri Sembilan.

Anwar Ibrahim ketika berceramah di Negeri Sembilan pada 20hb Dis baru-baru ini meminta PR menawan Negeri Sembilan yang cuma perlu memenangi hanya 4 kerusi sahaja lagi untuk mengambil alih pemerintahan Negeri Sembilan.

Kita telah membincangkan perkara ini semenjak berakhirnya PRU 12 lagi dan ianya adalah sangat praktikal dan sangat tidak mustahil tetapi PR terutamanya PAS mesti mengambil langkah wajar dan menyusun strategi ke arah itu.

Alhamdulillah...kita bersyukur ke hadrat Allah swt kerana PAS Negeri Sembilan terutamanya PAS Seremban telah dipulihkan kembali. Ini satu langkah yang wajib untuk menyusun langkah yang jitu untuk menawan Negeri Sembilan dalam PRU13 tidak berapa lama lagi. Walaupun masih terdengar beberapa konflik dan perselisihan masih berlaku, namun dalam beberapa majlis, saya sendiri melihat Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Tuan Zulkefly Hj Omar dan YDP Seremban Tuan MK Ibrahim telah boleh duduk sebaris dan seiring. Tahniah buat kedua-duanya.

Sejarah akan melakarkan kejayaan PR menawan Negeri Sembilan kelak dan salah satu sebab kejayaan itu adalah kerana PAS Negeri Sembilan dan PAS Seremban BERJAYA menggerakkan jentera sepenuhnya. Kejayaan ini juga akan dilukis orang dalam lipatan sejarah disebabkan oleh dua orang tokoh pemimpin Negeri Sembilan dan Seremban ini iaitu Tuan Zulkefly Hj Omar dan Tuan MK Ibrahim yang berusaha dan terus berusaha bersungguh-sungguh dengan mengenepikan kepentingan peribadi dan kumpulan demi untuk kesepakatan dalam berjemaah dan berparti.

Begitu juga sebaliknya. Jika kekalahan terus melanda PR dan PAS Negeri Sembilan dalam PRU13 kelak, MUNGKIN salah satu faktornya adalah  kedua-dua tokoh pemimpin di atas atau salah seorang dari mereka masih punyai ego yang tinggi dan masih tidak mahu bermunafakat.

Marilah sama-samalah kita berdoa dan berusaha untuk meningkatkan ukhwah dan munafakat, seterusnya menawan Negeri Sembilan. Insya Allah.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (al-Hujurat:10).


"Muafakat membawa berkat"

Tuesday, November 30, 2010

Kita sebenarnya perosak Bahasa Melayu.

Ketika Mantan Perdana Menteri memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), maka kecohlah seluruh negara dengan bantahan, demo sebagainya kerana tidak setuju dengan dasar yang meminggirkan Bahasa Melayu itu.

Sehinggakan Ketua Pemuda Pas Pusat ketika itu, saudara Sallahuddin Ayub mengerahkan dan mewajibkan seluruh ahli Pemuda PAS seluruh negara untuk berkumpul membantah PPSMI ini.

"Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayub mengarahkan pemuda-pemuda seluruh negara untuk sama-sama menyertai perhimpunan aman membantah PPSMI pada 7 Mac, Sabtu nanti.

Katanya, ahli yang mengaku mereka adalah pemuda PAS haruslah memastikan kehadiran mereka sebagai komitmen terhadap perjuangan mengembalikan serta memartabatkan Bahasa Melayu yang semakin terpinggir akibat dasar PPSMI". - petikan Detikdaily.

Sebenarnya kita sendiri dengan disedari atau tidak, merupakan perosak dan kitalah yang meminggirkan Bahasa Melayu itu sendiri. Sila lihat iklan ini:


Saya bukannya pakar bahasa, namun jelas "bahasa rojak" pelbagai bahasa di dalam iklan ini "menjolok mata" menyebabkan orang yang menghargai bahasa "berbulu mata" bila memandangnya.

Semoga kita lebih prihatin untuk terus memertabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara bertuah ini.

Wallahu'alam.

Monday, November 29, 2010

KETUANAN MELAYU.

Pagi ini kecoh lagi tentang ucapan Presiden PKR mengenai PKR ingin membakul-sampahkan KETUANAN MELAYU. Ada pula seorang Sultan yang berdukacita ...

Saya juga membaca komen Ketua Pemuda PAS Pusat dalam Kosmo hari ini tentang beliau tidak bersetuju sekiranya pemerintahan UMNO dan BN yang ternyata zalim dijatuhkan dan diserahkan pula teraju negara ini kepada orang bukan Islam walau pun beliau kelihatan adil.

Saya cuba analisa kedua-duanya. Teks Ucapan Dasar Presiden PKR saya teliti dan komen saya:

1) Teks ucapan ini tidak bermaksud untuk menghapuskan "Ketuanan Melayu" secara total.
2) "Ketuanan Melayu" yang hendak dihapuskan ialah "Ketuanan Melayu" yang disalahgunakan oleh UMNO.
3) Ternyata bahawa media massa telah memesongkan maksud sebenar ucapan ini.
4) Perlembagaan Persekutuan akan dipertahankan. Ini bermakna tidak akan terusik Institusi Melayu seperti Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan sebagainya. Kenapa Sultan perlu berdukacita pula?.
4) Kurang bijaksana Presiden PKR mengutarakan topik ini ketika ini yang pastinya akan dimanupulasikan oleh musuh untuk memudaratkan PKR yang kini telah terjerumus dalam pelbagai masalah dalaman.

Komen saya tentang kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat:
Sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat, sudah semestinya beliau tidak akan bersetuju untuk menjatuhkan UMNO dan BN yang ternyata zalim dan diserahkan pula kepada orang bukan Islam untuk meneraju negara ini.

Perjuangan kita adalah untuk menegakkan Negara Islam yang merupakan perintah Allah swt dan Rasulnya. Ternyata dalam sejarah, Negara Islam di seluruh dunia yang diterajui oleh orang Islam dari pelbagai bangsa seperti Arab, Moghul, Melayu, Cina, India dan sebagainya tidak menzalimi penganut agama lain dan bangsa lain.

Negara Islam wajib diterajui oleh orang Islam sendiri. Ini adalah prinsip perjuangan yang mesti dipertahankan oleh setiap ahli PAS selari dengan perjuangan PAS untuk menegakkan Negara Islam. Sekiranya ada ahli yang tidak bersetuju, maka wajarlah dia meninggalkan parti PAS ini. Seandainya majoriti ahli tidak bersetuju, eloklah kita lupakan perjuangan ini dan bubarkan saja Parti Islam SeMalaysia ini.

"Tegakkan ketuanan Islam. Keadilan untuk semua"

Walalhu'alam. Sekian.

Monday, November 1, 2010

Kritik dan tegurlah....

Salam ukhwah kepada semua pejuang PAS dan Pakatan Rakyat terutamanya dari negeri Sembilan yang ikhlas dan tulus dalam perjuangan menegakkan Islam dan keadilan di Malaysia.

Sudah berbulan rupanya saya tidak menulis sesuatu dalam blog ini. Kesibukan seharian untuk mencari penghidupan terutama peniaga kecil-kecilan seperti saya ini menyebabkan saya tidak sempat untuk menulis dalam blog ini dan kebanyakan blog saya yang lain.

Semalam berjumpa dengan sahabat lama, jenuh saya nak menjawab kritikan beliau tentang saya terutamanya hasrat kami untuk membetulkan PAS dan pakatan Rakyat terutamanya Negeri Sembilan melalui blog ini terbantut begitu lama. Saya akui bahawa saya banyak kelemahan dan dengan rendah hati saya mohon maaf.

Kita dalam berparti dan berjemaah, kita sangat memerlukan sahabat-sahabat yang telus dan jujur mengkritik dan menegur kelemahan dan kesalahan kita. Sahabat-sahabat kita juga mesti telus dan jujur serta berbesar hati untuk menerima teguran dan kritikan membina dari kita. Ini adalah hubungan dua hala yang sangat perlu untuk membaiki diri sendiri dan sahabat-sahabat. Seterusnya parti dan jemaah boleh diperteguhkan. Insya Allah.

Jika kritikan dan teguran sahabat tersebut pada pandangan kita tidak benar, maka berhujahlah dengan baik dengan nas yang sohih atau mantik yang logik tanpa melibatkan sentimen dan emosi atau kita maafkanlah sahabat itu atas kekhilafan tersebut asalkan beliau telus dan jujur dalam menegur dan mengkritik. Seterusnya kita teruskan usaha kita yang pada pandangan kita adalah yang terbaik untuk kita dan jemaah kita.

Ahli parti dan jemaah yang TIDAK menegur ahli lain yang melakukan kepincangan di hadapan mata adalah SETAN BISU. Ahli parti dan jemaah yang TIDAK dapat menerima teguran yang tulus dan jujur dari ahli dan sahabat separti dan sejemaah mempunyai keegoaan dan keangkuhan IBLIS. Apa gelaran yang layak untuk PEMIMPIM parti dan jemaah dalam kedua-dua keadaan yang sama.
Wallahu'alam...