Friday, July 23, 2010

Hutang...

Salam...

Ramai yang berhutang dalam kehidupan serba maju dewasa ini..... termasuk diri saya sendiri. Jika berhutang dengan bank atau institusi kewangan, selalunya kita berhati-hati. Namun begitu ia menjadi beban yang sangat berat terutamanya ketika bayaran ansuran tertunggak berbulan-bulan. Ada yang menyorokkan kereta kerana takut bank menarik kereta tersebut dan malahan ada yang diistiharkan muflis angkara hutang seperti hutang kad kredit.

Yang paling mengecewakan adalah apabila kita berhutang dengan saudara-mara dan sahabat-sahabat. Ada di antara kita tidak bersikap seperti kita meminjam dari institusi kewangan. Malahan ada yang lebih lembut gusi dari lidah apabila hendak meminjam tetapi memberi jutaan dalih atau menghilangkan diri ketika pemiutang yang terdiri dari saudara atau sahabat-sahabatnya sendiri ketika mereka ingin meminta hutangnya.

Seorang saudara saya di Perak pernah berkata bahawa beliau tidak akan memberi hutang kepada saudara-mara atau kawan-kawan sekiranya beliau merasa terbeban dengannya. Beliau lebih suka memberi sedekah atau menderma dengan jumlah yang tidak merisaukannya. Ini adalah kerana takut hutang tak berbayar dan beliau akan keresahan serta bermusuhan pula dengan saudara dan rakan-rakannya. Beliau kini merupakan usahawan yang berjaya.Adakah prinsip dan pegangan sebegini boleh dipegang untuk masalah hutang ini?.

Seorang kenalan saya dari Kelantan pula berbeza..... beliau akan memberikan hutang kepada saudara-mara dan rakan-rakan dengan segala kemampuannya. Kekadang beliau terkenangkan juga hutang-hutang yang beliau berikan tetapi selalunya beliau  tidak menghiraukannya langsung. Sehingga ada yang simpati kepada beliau kerana atas kepemurahan hatinya, ada yang seperti mengambil kesempatan dengan berkali-kali berhutang dengan segala kepakaran meraih simpati, namun tidak pernah menjelaskan hutang walau pun sekali. Walaupun demikian beliau juga merupakan usahawan yang berjaya juga. Adakah prinsip dan pegangan sebegini boleh dipegang?.


Rasulullah s.a.w ada menjelaskan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksudnya :  

“Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambil dengan niat akan membinasakannya dengan tidak membayarnya maka Allah akan membinasakan dia”.

Nabi tercinta Muhammad saw sangat takut berhutang dan terperangkap dengan hutang. Baginda sering berdoa yang maksudnya:

"Ya Tuhanku, aku berlindung diri kepadamu dari bebanan hutang dan dari dikuasai orang lain”.

Marilah fikir-fikirkan. Hutang kita tetap wajib dibayar kerana Nabi teragung Muhammad saw bersabda bermaksud:

"Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.

(Riwayat Imam At-Tarmizi, Ahmad & Ibni Hibban)

Untuk maklumat lanjut, sila baca sini.

Sekian. Semoga kita dibebaskan dari berhutang dan redha sekiranya orang lain tidak membayar hutangnya kepada kita. Wallahu'alam.

2 comments:

LENSAPR said...

Salam Sheikh, selepas cerita hutang ni, ekau dah beruzlah ko. Ha ha

salmi said...

subhanallah... well said! =)

sedikit perkongsian drp saya ttg kepentingan urusan hutang-piutang. Betapa Allah memandang serius dan berat ttg urusan hutang-piutang atau pinjam-meminjam sehinggakan diungkapkan secara jelas di dalam AlQuran. Ayat 282 surah Al-Baqarah yg merupakan ayat Quran terpanjang, telah menggariskan adab-adab serta cara urusan hutang-piutang ini mesti dilaksanakan. Smg bermanfaat utk kita semua:

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (2: 282)

Wallahu a'lam bissowaab.
Smg Allah membantu dan memberi kekuatan kpd kita utk mengikuti segala perintahNya.