Wednesday, May 26, 2010

Susahnya nak ikhlaskan diri selepas kecewa.

Salam.

Dalam organisasi tempat bekerja, jawatan tinggi menjadi suatu idaman. Pekerja mengidam nak jadi Penyelia, Penyelia nak pula jadi Pengurus, Pengurus pula mimpikan jawatan Pengurus Kanan dan ianya berterusan sehingga ke jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ada yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan jawatan yang diidamkan seperti melobi, mengampu, menindas orang bawahan dan mencantas pesaing.

Ada pekerja yang bagus tetapi sering tidak mendapat jawatan yang diingini walaupun kelayakan dan pretasi kerjanya sangat baik dan sepantasnya ianya mendapat jawatan tersebut. Mungkin tiada kekosongan jawatan atau selalunya ianya dicantas oleh pesaingnya. Sangat pedih dan sedih pekerja yang mengalami keadaan seperti ini. Aku mengerti sebab aku juga pernah mengalaminya. Selalunya, pekerja berdedikasi begini pasti akan kecewa dan lambat laun akan meninggalkan syarikat tersebut atau kekal di dalam syarikat tetapi bertukar menjadi dedalu yang merosakkan syarikat atau sekadar "melukut di tepi gantang".

Aku kagum dengan beberapa pekerja yang aku kenali yang sangat berdedikasi dan terus mengekalkan prestasi kerja walau pun berpuluh tahun bekerja dengan syarikat yang sama dan tiada kenaikan pangkat yang ketara untuknya. Jelas dia bekerja dengan penuh keikhlasan kerana Allah swt.

Dalam organisasi sukarela dan politik pembangkang, jarang jawatan menjadi rebutan. Ini adalah kerana jawatan merupakan bebanan tanpa imbuhan keduniaan yang nyata. Namun begitu, masih ada yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan jawatan termasuk mengambil risiko menyebabkan organisasi terjejas, malahan digantung.

Adakalanya kita teringin sangat kepada sesuatu jawatan dalam syarikat atau dalam organisasi yang kita terlibat di dalamnya. Kita merasakan kitalah yang paling layak dan berkaliber, namun pemilihan dan nasib tidak berpihak kepada kita. Kita akan merasa kecewa. Selepas itu, kekecewaan itu akan memusnahkan perasaan dan prestasi kita. Sukar untuk mengikhlaskan diri dan kembali ke keadaan asal. Ia memakan masa dan pasti banyak yang terkorban.

Hanya Allah swt, tempat kita mengadu dan dengan keizin dan rahmatNya sahaja, kita mampu kembali ikhlas berkerja dengan kekecewaan dan kerosakkan yang minima.

Jika kita tidak pernah atau tidak akan kecewa terhadap sesuatu keinginan yang tidak kesampaian, pasti kita adalah wali Allah swt atau setaraf dengannya.

والله علم

No comments: