Wednesday, February 17, 2010

Simptom penyakit kemenangan yang MERBAHAYA




Salam perjuangan,

Memori silam suatu ketika dulu di kampus diimbau kembali. Ketika itu, aku masih tidak terlibat dalam perjuangan PAS dan adakalanya skeptikal dengan perjuangan ini.

Ketika itu Mahasiswa yang menyokong PAS menang besar dan punyai gaya tersendiri. Masih aku ingat lagi, simptom penyakit kemenangan yang sangat MERBAHAYA telah merebak di kalangan mahasiswa yang menyokong PAS ini. Penyakit itu adalah KESOMBONGAN, KEAKUAN, GILA KUASA dan MEGAH DIRI.

Penyakit ini merebak dengan pantas sehinggakan suatu hari, aku mendengar Allahyarham Zakaria Mohd Noor ketika itu Presiden MPP, menasihati Allahyarham Sakuang Ismail supaya merendah diri walau pun telah menjadi SU Agung MPP yang termuda dalam sejarah kampus ini. Beliau berkata "Sakuang....... tak mengapa sekiranya kita merendah diri kerana dengan merendah diri, kehormatan dan maruah diri tidak akan terjejas seperti ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya". Lembutnya nasihat tersebut menusuk hati....

Kedua-dua permata ini telah "hilang" menuju Ilahi dan sekiranya aku mengingatkan mereka berdua, boleh mengalirkan air jernih mata ku ini... Seorang adalah pejuang yang sangat merendah diri dan seorang lagi terlalu tinggi kenyakinan diri. Al-Fatihah untuk pejuang ini yang pergi ketika kita masih memerlukan mereka lagi. Moga kerahmatan Ilahi untuk mereka dan kita semua di akhirat nanti.


Gambar: Allahyarham Zakaria Noor Bekas YDP Muar

Ketika ini aku telah bergelanggang dalam perjuangan ini. Aku menjadi hairan, pelik, jelek dan gusar kerana simptom yang sama telah menular dalam kalangan pemimpin tertinggi di semua peringkat parti. KESOMBONGAN, KEAKUAN, GILA KUASA dan MEGAH DIRI telah merebak dalam diri segelintir pemimpin PAS termasuk pemimpin peringkat negeri. Pemimpin pusat, aku tidak pasti. Dari posting yang lepas, kebimbangan yang sama diluahkan oleh Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, tuan guru yang dikasihi.

Yang pelik dan hairannya ialah simptom yang sepatutnya menular setelah negara dan negeri dikuasai dan dimenangi, telah mulai menular ketika ini iaitu ketika PAS atau PR masih belum dapat memerintah negara dan kebanyakan negeri!.

Jelek aku kerana ada yang mendakwa sekiranya PAS memerintah negeri, pasti dia yang akan menjadi menteri tertinggi!. Dia mesti dihormati dan segala titah perintah beliau mesti diikuti. Sebarang penafian atau bangkangan ideanya dianggap sebagai menderhakai serta membenci bakal menteri tertinggi!

Kegusaran aku bertambah kerana karenah segelintir pemimpin sebegini, massa mulai merasa jelek kepada mereka dan PAS itu sendiri!

Ingatlah pesanan Allahyarham Zakaria Noor yang diingati, "Ular yang menyusur akar, tidak akan hilang bisanya". Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. Jangan kerana segelintir pemimpin, rosak perjuangan PAS yang suci ini.

Mohon maaf sekadar ingatan dan saling menasihati.

Pautan kisah ustaz Zakaria Noor http://adham-alharaki.blogspot.com/2009/04/pejuang-dan-murabbi-contoh.html

No comments: