Wednesday, May 4, 2011

Chegu Bard berminat dengan DAP.




Saya pernah berkata kepada beberapa sahabat di Rembau yang Chegu Bard ini seorang tokoh anak muda yang merupakan aset kepada Pakatan Rakyat Rembau. Ketokohan yang mendadak terserlah semasa zaman reformasi. Kelantangan dan keberanian beliau disegani oleh kawan dan lawan.

Ura-ura beliau ingin keluar dari PKR yang mengecewakannya bertiup kencang di alam siber tetapi tidak pasti apakah haluan dan perancangan beliau jika benar khabar tersebut.

Saya pernah mengusulkan kepada sahabat-sahabat PAS Rembau untuk menjemput tokoh ini untuk bersama. Pelbagai pendapat tentang usul saya ini dan pasti ada yang pro dan kontra. Saya tidak tahu sampai mana usul ini dan statusnya.

Melalui blog Chegu Bard yang diposkan semalam yang diambil dari blog Aspan Alias bertarikh 27 April, semacam beliau berminat untuk menyertai DAP atau UMNO sendiri.

"Tetapi mahu tidak mahu UM-NO mesti berubah untuk tidak menjadi parti yang dipinggirkan oleh rakyat pada masa akan datang. Kehendak rakyat lagi berperanan daripada kehendak pemimpin, kerana tanpa rakyat tiadalah pemimpin. Persepsi buruk yang ada pada UM-NO harus dikikis dan ianya hanya boleh dilakukan dengan pertukaran barisan kepimpinan". 
 
Melalui kenyataan dalam blognya seperti di atas, Chegu Bard seolah berminat untuk menyertai UM-NO untuk merubah UM-NO yang sudah busuk mereput. Pada pandangan saya, Chegu Bard tidak mungkin memilih UM-NO kerana sangat bertentangan dengan prinsip perjuangannya selama ini. Sekiranya ini pilihannya, beliau hanya menempah cacian dan makian dari anak muda penyokongnya sendiri dan jadilah dia seperti tokoh PKR lain yang menyertai UM-NO terdahulu darinya.
 
Sekiranya beliau menyertai DAP, beliau akan menjadi tokoh muda Melayu berwibawa dalam DAP dan mungkin akan menjadi ikon dan terpahat dalam lipatan sejarah Negeri Sembilan di kemudian hari. Cita-cita dan iltizam DAP dalam politik luhur dan murni sangat mengagumkan ketika ini. Namun DAP juga seperti parti politik yang lain, juga diuruskan oleh manusia yang serba lemah. Banyak masalah dalaman yang mungkin tidak diketahui umum dan mungkin akan mengecewakan sesiapa juga yang mencari kesempurnaan.
 
Kami tetap dengan PAS walau pun terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang menyeksakan kerana kami diikat dengan ikatan akidah....
 
Wallau'alam. mohon maaf.

No comments: